Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com
Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, antara makna organik ialah “berkenaan tanaman yang menggunakan baja daripada sumber haiwan atau tumbuhan (bukan daripada bahan kimia buatan)”. Oleh itu, beras organik bermaksud beras yang terhasil daripada kaedah penanaman padi yang menggunakan baja daripada sumber haiwan atau tumbuhan. Dalam hal ini, bahan-bahan kimia buatan, termasuk racun rumpai, serangga, dan haiwan perosak langsung tidak digunakan semenjak dari awal penanaman padi sehinggalah padi tersebut dituai.
Justeru itu, istilah “beras organik” hanya merujuk kepada kaedah penanaman padi semata-mata dan tidak merujuk kepada khasiat kesihatan dan perubatan yang terdapat pada beras yang dihasilkan. Hal ini bermakna beras organik boleh jadi beras yang mempunyai kandungan kanji, karbohidrat, dan gula yang tinggi, atau sebaliknya. Manakala, beras yang mempunyai kandungan kanji, karbohidrat, dan gula yang rendah pula boleh jadi terdiri daripada beras organik atau pun beras bukan organik.
Sehubungan itu, kita merasa sedikit keliru apabila terdapat iklan yang mendakwa beras yang diedarkan dan dijual oleh mereka adalah beras yang mempunyai khasiat kesihatan dan perubatan yang baik diikuti dengan dakwaan bahawa beras tersebut adalah beras organik. Iklan seperti ini boleh mengelirukan pengguna kerana pengguna mungkin beranggapan bahawa beras yang mempunyai kanji, karbohidrat, dan gula, yang tinggi adalah beras bukan organik, manakala beras organik pula adalah sebaliknya. Hal ini kerana beras yang bersifat organik tidak semestinya mengandungi khasiat kesihatan dan perubatan yang tinggi.
Dalam hal ini, syarikat tersebut sepatutnya memberitahu pengguna kaedah penanaman padi yang bersifat organik terlebih dahulu sehingga menghasilkan beras yang lebih selamat untuk digunakan oleh manusia. Kemudian, barulah memberitahu pengguna khasiat kesihatan dan perubatan yang didakwa wujud di sebalik beras tersebut. Kaedah pengiklanan seperti ini sebenarnya lebih mendidik penonton agar memilih produk yang lebih baik berasaskan ilmu pengetahuan yang betul.
Di sinilah peri pentingnya pihak-pihak yang terlibat dalam pengiklanan, termasuk syarikat pengiklanan, pihak yang meluluskan sesebuah iklan, dan pihak media yang menyiarkan iklan, agar lebih berhati-hati sebelum membuat, meluluskan, dan menyiarkan sesebuah iklan. Dalam hal ini, produk yang baik dan bermutu sepatutnya disusuli dengan iklan yang bermutu, berilmu, adil, dan bertanggungjawab.
Monday, February 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment