Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Sunday, February 21, 2010

Anak Zina Wira Hollywood

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com

Seorang lelaki yang bernama Kyle Reese dari masa hadapan kembali ke masa lampau bagi menyelamatkan seorang wanita yang bernama Sarah Connor daripada dibunuh oleh robot pembunuh cyborg. Semasa usaha menyelamat itu, Kyle Reese telah berzina dengan wanita yang baru dikenalinya itu. Melalui hubungan jenis yang tidak sah itu, Sarah Connor akhirnya mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama John Connor.

Semasa kanak-kanak, John Connor digambarkan suka menghabiskan masa dengan bermain video game. Manakala semasa remaja, anak zina Sarah Connor dengan Kyle Reese itu terlibat pula dalam penagihan dadah. Namun, remaja tersebutlah yang akhirnya akan menyelamatkan manusia daripada dilenyapkan oleh robot pembunuh cyborg. Remaja anak zina itulah juga yang akhirnya akan menjadi pemimpin agung bagi manusia akhir zaman. Itulah gambaran yang ingin disampaikan oleh Hollywood melalui filem Terminator yang kini baru sahaja memasuki siri yang keempat.

Mengangkat anak zina sebagai hero dalam sesebuah filem bukanlah perkara yang baru dan pelik bagi Hollywood. Dalam filem Kingdom of Heaven misalnya, hero filem tersebut digambarkan sebagai anak zina yang akhirnya menjadi pemimpin yang berani dan berhati mulia bagi masyarakat Kristian di Palestin. Jadi, apa salahnya anak zina. Anak zina juga sama seperti anak-anak yang lain, mampu untuk menjadi insan yang baik, berbakti, berilmu, dan cemerlang. Justeru itu, tidak salah bagi mana-mana pasangan yang melahirkan anak zina, dan justeru itu juga perbuatan zina itu sendiri tidak perlu dikutuk dan pasangan yang melakukannya juga tidak perlu dihina.

Namun bagi Islam, anak zina tidak akan selama-lamanya sama dengan anak yang dilahirkan melalui perkahwinan yang sah. Anak zina sama sekali tidak boleh dibinkan kepada ‘bapa’nya, dan oleh itu anak zina tidak layak mendapat hak pewarisan harta pusaka. Anak zina juga sekiranya perempuan tidak boleh diwalikan oleh ‘bapa’nya semasa akad nikah dilakukan.

Hukuman Islam berkaitan anak zina ini bukanlah satu diskriminasi atau ketidak-adilan terhadap mereka. Sebaliknya hukuman ini menyerlahkan lagi keadilan yang terdapat dalam Islam kerana Islam sangat menitikberatkan soal keturunan. Sekiranya keturunan bukanlah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, apa perlunya manusia melangsungkan perkahwinan dan mengadakan undang-undang yang berkaitan dengan perkahwinan, perceraian, hak penjagaan anak, hak pewarisan harta, dan sebagainya, termasuklah hukuman bagi mereka yang melakukan hubungan seks tanpa melalui perkahwinan yang sah.

Anda fikirkanlah sendiri, apa akan jadi jika sesuatu masyarakat itu tidak meng-hiraukan soal keturunan. Institusi kekeluargaan pastinya akan menjadi hancur dan kacau bilau. Hubungan antara anak, ibu bapa, dan kaum keluarga akan menjadi longgar. Perasaan kasih sayang antara sesama individu dalam keluarga tidak lagi menjadi keutamaan. Akhirnya setiap anggota keluarga membawa diri masing-masing, dan akhirnya sikap individualistik mengatasi segala-galanya.

Bagaimanapun, semuanya itu bukan menjadi isu bagi Hollywood. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita melihat hero melakukan hubungan jenis yang tidak sah, atau dengan kata lain berzina dengan heroin atau perempuan lain dalam filem-filem yang dihasilkan oleh Hollywood. Hubungan jenis bagi Hollywood tidak lebih daripada hanya sekadar untuk meredakan ketegangan, mencari ketenangan, melahirkan perasaan cinta, melepaskan rindu, dan kadang-kadang sebagai helah untuk mengalahkan pihak musuh.

Justeru itu, hubungan jenis bagi Hollywood tidak semestinya terikat dengan ikatan perkahwinan. Hubungan jenis sepatutnya bebas daripada keazaman untuk melahir-kan zuriat yang baik dan bersih. Hubungan jenis bagi Hollywood adalah hak asasi bagi setiap individu. Tidak ada siapa pun yang boleh menghalang seseorang daripada melaku-kan hubungan seks dengan mana-mana individu yang ia sukai, selagimana hubungan seks tersebut dilakukan secara sukarela antara kedua-dua pihak.

Namun, pada masa yang sama Hollywood sedar bahawa mesej tersirat yang ingin disampaikan olehnya itu melalui filem-filem yang disebarkan ke seluruh dunia sukar untuk diterima bulat-bulat oleh masyarakat, khususnya masyarakat Islam dan timur yang masih kuat berpegang kepada ajaran agama dan tradisi nenek moyang. Oleh itu, akhir-akhir ini kita melihat Hollywood telah mengambil pendekatan yang lain yang boleh dianggap sebagai justifikasi kepada kebebasan melakukan hubungan seks yang diper-juangkan oleh Hollywood selama ini.

Pendekatan yang dimaksudkan ialah pendewaan terhadap anak zina dengan menjadikan anak zina sebagai hero dalam sesebuah filem. Melalui pendekatan ini, Holly-wood berharap masyarakat tidak lagi, atau sekurang-kurang tidak terlalu cepat meng-hukum pasangan yang bersekedudukan dan pasangan yang melakukan perzinaan. Akhirnya, Hollywood percaya lama kelamaan masyarakat akan boleh menerima budaya pasangan lelaki dan perempuan yang hidup bersekedudukan tanpa perlu melalui ikatan perkahwinan yang sah dan halal.

Oleh itu, kita tidak terkejut apabila Hollywood secara besar-besaran mempromo-sikan gaya kehidupan Brad Pitt dengan pasangan sekedudukannya Angelina Jolie. Holly-wood seolah-olah bersetuju dengan tindakan hero tentera Kuda Kayu Trojan itu yang akhirnya melahirkan anak luar nikah, malah langsung tidak mendesak agar kedua-duanya mendirikan rumahtangga secara sah. Mungkin inilah gaya hidup moden yang diinginkan oleh Hollywood.

Bukan setakat itu sahaja, para wartawan dan jurugambar paparazzi berebut-rebut untuk mengambil gambar anak zina pasangan ini, seolah-olah anak zina itu bakal menjadi penyelamat manusia pada masa hadapan, atau mungkin juga pemimpin agung yang akan menyelamatkan manusia daripada kezaliman dan kesesatan sebelum berlakunya hari kiamat, atau Armageddon mengikut kepercayaan penganut agama Kristian.

Walau apa pun mesej tersirat yang ingin disampaikan oleh Hollywood, filem-filem Hollywood sebenarnya adalah manifestasi daripada trend kehidupan moden masyarakat barat yang sudah rosak dan melampau. Biarkanlah Hollywood dengan ikon anak zina mereka yang terbaru melalui filem Terminator Salvation kerana itu adalah pilihan mereka. Biarkanlah Hollywood membentuk imej mereka sendiri melalui filem-filem yang dihasilkan oleh sutradara-sutradara tersohor mereka.

Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah terdapatnya kecenderungan dikalangan penggiat-penggiat filem tanahair kini yang mula terikut-ikut dengan gaya pembikinan filem-filem Hollywood, sehinggakan sebahagian daripada filem kita tidak lagi berwajah Malaysia apatah lagi berwajah Melayu dan Islam. Kita amat bimbang jika terdapat filem-filem yang dihasilkan di negara ini yang mengambil pendekatan seolah-olah ‘menghero-kan’ anak zina dan golongan yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Mungkin juga filem-filem seperti ini sudah pun berada di pasaran, cuma anda sahaja yang tidak perasan.

No comments:

Post a Comment