Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Wednesday, January 27, 2010

Ahli Politik dan Sakit Jantung

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@ yahoo.com
pustakahilmi.blogsport.com

Semenjak pilihan raya umum pada tahun lepas sehingga kini, sekurang-kurangnya sudah lima orang wakil rakyat yang meninggal dunia akibat serangan jantung, termasuk yang terbaru wakil rakyat Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Jika dicampur dengan jumlah ahli politik yang telah dan sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), statistik yang dikeluarkan mungkin akan menakutkan ahli-ahli politik negara ini. Kenapakah agaknya ahli-ahli politik berisiko tinggi diserang sakit jantung?

Pastinya ramai di kalangan kita yang akan memberi jawapan tekanan kerja yang terlalu berat menyebabkan ahli-ahli politik mudah terkena sakit jantung. Ahli politik yang bertaraf wakil rakyat bukan sahaja perlu melakukan kerja-kerjanya sebagai wakil rakyat, tetapi perlu juga melaksanakan kerja-kerja dan arahan-arahan parti dari semasa ke semasa. Bagi ahli politik yang terlibat dengan NGO pula, kerja mereka akan bertambah melalui aktiviti-aktivi yang dirancang.

Termasuk dalam kerja-kerja ahli politik juga ialah menghadiri jemputan-jemputan dan majlis-majlis tertentu, walaupun kadang-kadang kehadiran mereka tersebut hanyalah sebagai hadirin biasa sahaja. Ahli politik seringkali menghadapi dilema dalam memenuhi jemputan sama ada jemputan yang rasmi atau pun tidak rasmi. Jika kelibat mereka tidak kelihatan, mereka akan dituduh tidak memberi sokongan kepada individu atau pihak yang menganjurkan majlis tersebut.

Di kalangan rakyat biasa pula, jika ahli politik yang dijemput tidak dapat menghadiri majlis kenduri kahwin atau bercukur jambul anak mereka contohnya, ahli politik tersebut akan dicop sebagai kedekut, tidak cakna dengan rakyat, tidak turun padang, dan sebagainya. Keadaan ini akan menyebabkan setiap ahli politik terpaksa berkejar ke sana sini bagi memenuhi setiap undangan, termasuk bagi tujuan mengambil hati dan untuk tidak mengecewakan pihak yang menjemput mereka.

Kesemua senario yang terpaksa dihadapi oleh ahli politik ini menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak masa untuk beriadah, berekreasi bersama keluarga, dan mengambil cuti bagi menenangkan fikiran daripada memikirkan sepak terajang dunia politik. Kekerapan ahli politik menghadiri majlis dan undangan pula menyebabkan perut mereka sentiasa kenyang, sehinggakan tiada ruang bagi sistem penghadaman mereka untuk berehat, melainkan pada waktu siang dalam bulan Ramadhan.

Kesemua senario ini menyebabkan ahli politik terdedah kepada risiko serangan jantung yang pada kebiasaannya tidak dapat dijangka. Sesungguhnya kematian wakil rakyat akibat penyakit, termasuk sakit jantung sedikit sebanyak sebenarnya merugikan negara dan rakyat.

Justeru itu, saya merayu agar rakyat negara ini mengubah persepsi terhadap kerja wakil rakyat dengan tidak membebankan mereka dengan kerja-kerja remeh temeh yang sebenarnya boleh diambil alih oleh individu atau pihak-pihak yang lain. Kepada ahli politik pula, jangan kerana terlalu ingin menunjuk-nunjuk kononnya kita tersangat prihatin dengan nasib rakyat sehingga kita mengabaikan tanggungjawab terhadap diri kita sendiri. Pepatah ada berkata : “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”

Monday, January 18, 2010

Kenapa Festival Filem Islam Menyepi?

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Pada 5 Disember 2007 sebelum ini, khalayak seni dan filem tanahair dikejutkan dengan penampilan bertudung pelakon jelita dan popular Maya Karin dalam dialog yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan yang bertajuk “Sinema Majid Majidi : Moral dan Kemanusiaan”. Dialog tersebut diadakan sempena Mini Fest Kelantan 2007 yang julung-julung kali diadakan oleh kerajaan negeri, malah kali pertama diadakan negara ini dalam konteks festival filem Islam.

Namun, festival yang diharapkan oleh ramai pihak agar menjadi acara tahunan kerajaan negeri Kelantan sebagai salah satu produk pelancongan bagi negeri itu nampaknya sudah tersisih dalam perancangan exco kerajaan negeri, termasuk dalam belanjawan 2010 yang telah dibentangkan baru-baru ini. Lalu timbullah kata-kata sinis yang menuduh bahawa penganjuran festival filem tersebut lebih kepada gimik politik pihak-pihak tertentu dalam kerajaan negeri Kelantan, atau dengan kata lain politik “hangat-hangat tahi ayam”.

Walau bagaimanapun, sebelum kita membicarakan sebab-sebab kegagalan kerajaan negeri Kelantan ini, kita seharusnya terlebih dahulu jelas tentang apa yang dikatakan filem Islam itu sendiri. Apabila membicarakan Islam dalam filem, sudah semestinya aspek yang paling utama ialah persoalan halal dan haram, selain daripada dakwah menyuruh melakukan kebaikan, menjauhkan dan meninggalkan maksiat, mengkritik kezaliman, rasuah, dan kepincangan sosial, dan seruan supaya mendekatkan diri kepada Allah.

Oleh itu, filem yang islamik seharusnya filem yang tidak mengandungi adegan-adegan yang tidak sepatutnya seperti berpelukan antara pelakon lelaki dan wanita, pendedahan aurat yang keterlaluan, penonjolan aktiviti-aktiviti maksiat secara terang-terangan, aksi-aksi ganas yang melampau, dan mengandungi elemen-elemen khurafat dan syirik. Termasuk dalam konteks ini juga ialah filem-filem yang mengandungi unsur-unsur komedi dan lawak jenaka yang kosong, mencarut, membodohkan, dan komedi yang kotor dan jijik.

Filem Bohsia contohnya mempunyai mesej yang amat baik, iaitu mengajak kaum remaja khususnya supaya menjauhkan aktiviti lumba haram, penagihan dadah, pelacuran, dan gejala-gejala sosial lain yang tidak sihat. Namun filem ini tidak boleh dianggap bersifat islamik kerana turut menonjolkan aktiviti lumba haram secara yang keterlaluan, penampilan pelakon wanitanya dengan pakaian yang sangat menjolok mata, interaksi antara pelakon lelaki dan wanita yang tidak menepati hukum syarak, dan banyak lagi yang tidak perlu dijelaskan di sini.

Lalu, ramai juga yang bertanya, kalau itu tidak boleh dan ini tidak boleh, macam mana nak buat filem? Takkan semua filem mesti berunsurkan dakwah seperti Syukur 21 dan Ayat-Ayat Cinta? Kalau begini, industri filem kita akan menjadi malap? Macam mana pelakon, pengarah, dan penggiat filem nak cari makan? Dan seribu satu lagi persoalan yang lebih bersifat pesimistik, curiga, dan menampakkan ketidakyakinan mereka untuk mengubah wajah filem kita sekarang ini. Malah, soalan-soalan yang dikemukakan kadang-kadang boleh membawa kepada keingkaran terhadap hukum Allah dan penolakan agama dalam filem.

Justeru itu, di sinilah peri pentingnya festival filem Islam dianjurkan dan dihidupkan kembali dalam bentuk yang lebih segar, meyakinkan, dan melibatkan lebih banyak pihak. Melauli festival filem ini, forum-forum dan seminar-seminar boleh diadakan dan semua pihak boleh memberikan pandangan bagi mencari dan merangka bentuk filem yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam, termasuklah pandangan daripada sutradara tersohor Iran, Majid Majidi.

Setelah kata putus dicapai, rasanya tidak sukar bagi pengarah yang kreatif untuk menghasilkan filem-filem yang dimaksudkan. Bagi menghasilkan filem yang mengisah-kan tentang kehidupan junjungan Nabi Muhammad s.a.w. misalnya, pengarah filem tersebut mestilah mengambil kira dan menghormati pandangan jumhur ulama yang mengharamkan penonjolan watak Nabi Muhammad s.a.w. secara visual. Lalu bagaimanakah filem tersebut boleh dihasilkan?

Bagi pengarah yang tidak mahu berfikir panjang, mereka akan segera angkat tangan, tetapi tidak bagi pengarah yang betul-betul berjiwa seni. Bagi mereka, banyak kaedah yang boleh digunakan, dan kesannya kepada penonton masih tetap sama. Lalu terciptalah kaedah pergerakan kamera bagi menggambarkan pergerakan Nabi Muhammad s.a.w. Kisah hidup Rasululullah s.a.w. bersama para sahabat dan isteri baginda pula diceritakan melalui perbualan orang ramai sesama mereka. Maka, di manakah susahnya?

Justeru itu, rasanya tidaklah sukar sangat untuk mencari alternatif bagi babak-babak yang boleh menimbulkan kontroversi seperti babak berpeluk-pelukan antara lelaki dan perempuan, babak suami isteri di atas ranjang, aksi pembunuhan dan pergaduhan yang ekstrem, dan babak gejala sosial yang mengghairahkan. Apatah lagi babak-babak picisan seperti mandi di dalam bilik air, wanita yang menggoyangkan punggung dan menonjolkan buah dada, lawak slapstick murahan, dan sebagainya.

Pada hemat saya, kegagalan kerajaan Kelantan menganjurkan festival filem Islam secara tahunan adalah disebabkan kekangan kewangan yang meruncing, khususnya bagi tujuan menganjurkan festival filem dalam skala yang lebih besar. Oleh itu, sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), dan lain-lain amatlah diperlukan, termasuklah kerjasama daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Sokongan yang diberikan pastinya bukan sahaja dalam bentuk bantuan kewangan dan penajaan daripada syarikat korporat semata-mata, tetapi yang lebih penting daripada itu ialah penyertaan filem-filem tempatan yang dikira menepati ciri-ciri sebuah filem Islam. Lupakan dahulu soal politik kerana penganjuran festivel filem ini bukannya untuk mencari siapa yang menang dan siapa pula yang kalah dan salah. Yang menang adalah kita semua yang cintakan seni yang bermoral, bermaruah, dinamik, dan yang paling penting, seni yang membawa kita kepada ketaqwaan dan diredhai oleh Allah s.w.t.

Oleh itu, apabila Maya Karin bertudung semasa dialog sempena Mini Fest Kelantan 2007, perkara tersebut tidak sepatutnya dilihat dari sudut gimik politik yang sempit semata-mata, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh, iaitu manifestasi kepada keperluan lonjakan paradigma baru dalam dunia perfileman tanahair.

Wednesday, January 6, 2010

Bila Poligami Dikomedikan

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Pada suatu malam, si suami balik lewat malam, lalu tidur di dalam bilik tetamu di tingkat bawah rumahnya tanpa menyedari isteri keduanya turut tidur di dalam bilik tersebut. Setelah tiba waktu pagi, barulah si suami tahu bahawa isteri pertama dan keduanya saling kenal mengenali antara satu sama lain. Begitu juga, si isteri kedua baru mengetahui bahawa suaminya itu adalah suami kepada sahabat karibnya. Lalu berlakulah babak-babak komedi ekoran peristiwa tidur sekatil tersebut dan usaha kedua-duanya bagi mengelak si isteri pertama daripada mengetahui cerita yang sebenarnya.

Itu adalah babak komedi dalam salah satu drama bersiri di stesen televisyen di negara ini dan itulah juga sebahagian daripada realiti dunia poligami di negara ini. Bagi sesetengah pihak, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bagi kebanyakan wanita, dunia poligami sinonim dengan pembohongan, tipu muslihat, strategi, tragedi, kepura-puraan, hipokrit, ketidaksetiaan, dan seribu satu lagi istilah yang sebahagian besarnya lahir daripada emosi, dan kemarahan. Pendek kata, poligami adalah ibu segala maksiat, kejahatan, dan kerakusan nafsu.

Manifestasi daripada pemikiran seperti inilah, banyak pengarah drama dan filem di negara ini menjadikan isu poligami sebagai komedi dalam drama dan filem arahan mereka. Lalu ditunjukkanlah bagaimana susahnya seorang suami yang berpoligami untuk berkomunikasi dan berasmara dengan isteri kedua yang biasanya jauh lebih muda daripada isteri pertama. Untuk tujuan tersebut, si suami terpaksa melakukan berbagai- bagai tipu helah, termasuk “berbohong sunat” kononnya.

Pada masa yang sama, amat jarang sekali kita mendengar poligami dikaitkan dengan keperluan pasangan, perkongsian hidup dan kasih sayang, ketaqwaan kepada Allah, tuntutan agama, pembelaan terhadap anak yatim dan ibu tunggal, penambahan zuriat dan punca rezeki, peluasan kaum keluarga dan saudara mara, dan seribu satu lagi istilah dan frasa yang baik-baik dan menyenangkan. Pendek kata, bagi mereka yang menyokong poligami, poligami adalah sebahagian daripada penyelesaian terhadap isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Antara mereka yang nampaknya menganuti fahaman poligami ini ialah Habiburrahman El-Shirazy dalam novel tersohor beliau Ayat-Ayat Cinta. Novel yang kemudiannya difilemkan dengan judul yang sama ini telah menyebabkan masyarakat negara ini seolah-olah diserang histeria dengan pemikiran dan pendekatan yang diambil oleh pengarang novel Indonesia tersebut. Ayat-Ayat Cinta seolah-olah menyedarkan rakyat negara ini daripada dilamun mimpi buruk institusi poligami.

Melalui novel dan filem Ayat-Ayat Cinta, kita diberitahu bahawa poligami adalah sesuatu yang serius. Mereka yang telah memutuskan untuk mengamalkan poligami seharusnya memikirkan perkara tersebut dengan serius dan semasak-masaknya, malah lebih serius berbanding perkahwinan yang pertama. Tidak ada babak-babak komedi dan lawak jenaka dalam filem Ayat-Ayat Cinta, namun filem ini menggamit perhatian seluruh kelompok masyarakat daripada yang muda hinggalah yang tua, lelaki dan wanita.

Aliran pemikiran poligami dalam Ayat-Ayat Cinta ini kemudiannya diikuti pula oleh Kabir Bhatia dalam drama bersiri Nur Kasih. Jika novel Ayat-Ayat Cinta mencatat hasil jualan dan jumlah pembaca yang tinggi, drama bersiri Nur Kasih pula mencatat rating penonton yang tinggi sehingga ke angka jutaan orang. Kenapakah kedua-dua genre yang memilih tema poligami tanpa lawak jenaka ini sangat diminati oleh masyarakat?

Selain kekuatan cerita dan mesej di sebalik kedua-dua novel dan drama tersebut, masyarakat kini sebenarnya sudah muak dan juak dengan adegan-adegan komedi yang berkaitan dengan poligami. Masyarakat sebenarnya sudah lama mendambakan sebuah filem atau drama yang menampilkan pergolakan kejiwaan isteri-isteri yang terpaksa hidup bermadu dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit dalam rumahtangga. Begitu juga dengan peranan si suami dalam memberi bimbingan dan menyelesaikan kemelut yang melanda.

Justeru itu, apabila Ayat-Ayat Cinta dan Nur Kasih hadir dalam wajah yang berbeza berbanding wajah-wajah poligami yang penuh dengan komedi sebelumnya, masyarakat pastinya akan tercari-cari jawapan yang sudah lama terpendam melalui kedua-dua genre tersebut. Maka fahamlah kita bahawa poligami memerlukan pengorbanan, kesabaran, ketaqwaan, keikhlasan, tolak ansur, kekuatan mental dan rohani, saling hormat menghormati dan faham memahami, dan sebagainya. Manakala, kasih sayang pula boleh dipupuk jika semua pihak sanggup merendahkan ego masing-masing.

Filem dan drama komedi poligami sebenarnya tidak banyak membantu masyarakat memahami erti sebenar hidup berpoligami. Malah, filem dan drama seperti inilah yang banyak mendatangkan kekeliruan terhadap keperluan poligami dan tujuan sebenar Islam menghalalkan poligami. Filem dan drama komedi poligami menyebabkan masyarakat menganggap poligami tidak lebih daripada memuaskan hawa nafsu, merebut harta kekayaan, membalas dendam, merosakkan kebahagian rumahtangga, mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan sebagainya.

Oleh itu, sudah sampai masanya pengarah drama dan filem menilai kembali adegan-adegan komedi poligami agar nilai humor yang dikemukakan tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam institusi poligami. Para pengarah drama dan filem sepatutnya berusaha menonjolkan tingkahlaku-tingkahlaku dan sifat-sifat yang sepatutnya dimiliki oleh mana-mana lelaki yang berazam untuk berpoligami, khususnya syarat berkemampuan dan adil seperti yang diwajibkan oleh agama Islam.

Oleh itu, maaf kalau saya mengatakan bahawa lelaki yang ingin berpoligami tetapi tidak mahu atau takut menceritakan hasratnya itu kepada isteri dan kaum keluarga, dia sebenarnya awal-awal lagi sudah gagal dalam temuduga untuk berpoligami. Hal ini kerana lelaki seperti ini sebenarnya tidak memiliki mental yang kuat untuk melaksanakan keadilan seperti yang sepatutnya.

Dalam hal ini, kemampuan tidak boleh hanya diukur dari sudut kewangan semata-mata, tetapi dalam kehidupan berpoligami, kemampuan dan ketahanan mental dalam menghadapi masalah rumahtangga adalah lebih utama, khususnya ketika menghadapi karenah para isteri yang mengamuk, merajuk, mengancam, menggertak, memberontak, mengurungkan diri, meracau-racau dan sebagainya.

Sebagai seorang yang mengamalkan poligami, saya lebih memahami kenapa sesetengah lelaki perlu, malah kadang-kadang wajib berpoligami. Kenapa? Kerana poligami bukan untuk dikomedikan. Poligami adalah tanggungjawab. Tanggungjawab kepada diri sendiri, isteri-isteri, anak-anak, kaum keluarga, dan yang lebih penting, tanggungjawab kepada Allah s.w.t.

* Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).