Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Wednesday, April 14, 2010

Kekeliruan Penggunaan Frasa Kata "Masya Allah"

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Baru-baru ini saya terbaca dua baris dialog dalam sketsa kartun sebuah akhbar yang berbunyi : “Bayi dibuang lagi”, “Masya-Allah!”.

Sekali imbas, bagi kita di Malaysia, khususnya orang-orang Melayu yang beragama Islam, tidak ada apa pun yang salah dan pelik dalam dialog tersebut. Namun, jika dialog ini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, lalu dibaca oleh orang-orang Arab, sekurang-kurangnya mereka pasti akan senyum kambing terhadap pelukis kartun tersebut, kalau pun tidak melenting kemarahan.

Hal ini kerana frasa kata “Masya Allah” hanya digunakan oleh orang-orang Arab ketika berhadapan dengan situasi yang menunjukkan dan menggambarkan tentang kegembiraan, keriangan, dan keceriaan, serta kekaguman dan ketakjuban. Contohnya ketika menyambut kelahiran anak dan cucu, ketika mendapat khabar si anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, ketika melihat suasana yang meriah dan cantik sempena Hari Raya Aidil Fitri, dan ketika kagum melihat kecantikan dan kehebatan Menara Berkembar Petronas.

Bagaimanapun, penggunaan frasa kata “Masya Allah” dalam budaya orang-orang Melayu di negara ini lebih banyak merujuk kepada situasi musibah atau malapetaka. Contohnya, ketika melihat insiden kemalangan jalan raya, ketika melihat deretan rumah dijilat api yang sedang marak, dan ketika menyaksikan peristiwa pembunuhan kejam, termasuklah pembuangan bayi yang tidak berdosa ke dalam tong sampah.

Melihat kepada makna “Masya Allah”, frasa kata tersebut membawa maksud : “Apa yang telah dikehendaki oleh Allah”. Oleh itu, bagi orang-orang Arab, apabila kita melihat suatu musibah berlaku ke atas seseorang, lalu kita menyebut “Masya Allah”, bermakna kita seolah-olah menunggu-nunggu agar musibah tersebut mengenai orang itu, atau dengan kata lain kita seolah-olah berdoa agar orang tersebut terkena musibah. Situasi seperti ini pastinya dilarang dalam Islam.

Dalam hal ini, frasa kata yang sepatutnya kita sebut ialah “Na‘uzu billaahi min zaalik” yang bermaksud : “Kami mohon pertolongan daripada Allah daripada perkara tersebut”, atau mana-mana frasa kata yang menunjukkan kepada rasa sedih dan prihatin kita terhadap peristiwa yang berlaku. Paling kurang kita diminta beristighfar kepada Allah dengan lafaz “Astaghfirullaahal ‘azim” yang bermaksud “Aku mohon keampunan daripada Allah yang Maha Agong”.

Isunya sekarang, adakah masyarakat Melayu sedia mengubah kebiasaan yang sudah berakar umbi dalam budaya orang-orang Melayu ini walaupun mereka menyedari bahawa kebiasaan tersebut sebenarnya suatu kesilapan?

Biodata Tan Sri Dato' Seri Harussani Zakaria

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Kata pepatah : “Benih yang baik, jika jatuh ke tanah menjadi pohon, jika jatuh ke laut menjadi pulau”. Begitulah perumpamaan yang paling tepat diberikan ke atas Sahibus Samahah, Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri, (Dr.) Hj. Harussani b. Hj. Zakaria.

Anak bongsu kepada pasangan Hj. Zakaria b. Hj. Osman dan Hjh. Zainab bt. Jalaluddin ini dilahirkan pada 8 April 1939 di Kg. Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak. Ayah beliau yang berasal dari Banjarmasin, Kalimantan merupakan seorang yang tegas dalam memberi didikan agama kepada anak-anaknya. Pernah ketika kecil dahulu, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani dimarahi ayahandanya kerana balik lewat petang akibat leka bermain bola sepak bersama kawan-kawannya.

Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kg. Kedah, Parit Buntar, sebelum menyambung pengajian di Anglo Chinese School, Parit Buntar. Bagaimanapun, takdir Allah s.w.t. , pada ketika ini terdetik di hati Tan Sri Dato’ Seri untuk mempelajari ilmu-ilmu agama secara mendalam. Ketika beliau menyatakan hasrat untuk keluar dari sekolah, Tan Sri Dato’ Seri telah dipujuk oleh guru-guru di sekolah tersebut agar menimbang balik hasratnya itu memandang Tan Sri Dato’ Seri adalah pelajar cemerlang di sekolah tersebut.

Namun bak kata pepatah : “Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani tekad untuk menyambung pengajian beliau di Sekolah Idrisiah, Kuala Kangsar, Perak, dari tahun 1956 hingga 1959, sebelum menyambung pula pengajian agama beliau di Kuliah Al-Attas, Johor Bharu, Johor dari tahun 1959 hingga 1960. Di sini beliau merasa amat bertuah kerana tenaga-tenaga pengajar di sekolah baru beliau ini kebanyakannya berasal dari Hadramaut, Yaman. Tanpa berlengah lagi, Tan Sri Dato’ Seri mengambil kesempatan daripada tenaga-tenaga pengajar tersebut untuk mendalami bahasa Arab, termasuk bertutur dalam bahasa Arab.

Kembara ilmu Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani kemudiannya diteruskan lagi apabila beliau menyambung pelajarannya di Kolej Islam Malaya (KIM), Klang, Selangor dari tahun 1960 hingga 1964. Semasa belajar di KIM, Tan Sri Dato’ Seri merupakan pelajar yang rajin bertanya dan sering berhujah dengan ustaz-ustaz yang mengajar di KIM. Disebabkan kepetahan beliau berhujah, para pelajar yang lain telah menjadikan Tan Sri Dato’ Seri sebagai rujukan apabila mereka menghadapi sesuatu masalah dalan pelajaran.

Sebaik menamatkan pengajian di KIM, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani telah diterima bekerja sebagai penterjemah di unit Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri dari tahun 1964 hingga 1967. Selepas berhenti daripada unit Cawangan Khas, Tan Sri Dato’ Seri menjadi guru di sebuah sekolah di Pulau Pinang selama 3 bulan, sebelum menjawat jawatan sebagai Kadi di Jabatan Agama Pulau Pinang bermula 2 November 1967 hingga 1973. Ekoran khidmat cemerlang beliau sebagai Kadi, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani kemudiannya dilantik sebagai Kadi Besar dari 1973 hingga 1985.

Ketokohan Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani dalam membicarakan isu-isu agama Islam telah melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Mufti Perak bermula 1985 hingga kini. Selain Tokoh Ma’al Hijrah 2008, antara anugerah yang pernah diperolehi oleh Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani ialah Darjah Paduka Mahkota Perak pada tahun 1986 (yang membawa gelaran Dato’), Seri Paduka Mahkota Perak, 1999 (yang membawa gelaran Dato’ Seri), Darjah Kehormat Doktor Syariah, 2001 (yang membawa gelaran Dr.), dan Panglima Setia Mahkota, 2009 (yang membawa gelaran Tan Sri).

Hasil perkongsian hidup dengan Puan Sri Hajjah Ainon bt. Abdul Ghani mulai 31 Julai 1966, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani dikurniakan 4 orang cahayamata. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri tidak lupa memberikan sumbangan beliau dalam bidang keilmuan dan kemasyarakatan. Antara hasil tulisan beliau ialah Irsyad Hukum (yang menyentuh persoalan hukum semasa), Muamalah Hidup Islam (iaitu kompilasi 13 tajuk kertas kerja), Syaitan Musuh Insan, Hukum-Hukum Perkahwinan, Amalan di Bulan Ramadhan Mengikut al-Quran dan as-Sunnah, Rukyah dan Hisab, dan Ibadah Qurban.

Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani juga banyak menulis kertas kerja. Antara tajuk kertas kerja beliau ialah Peranan Da’i Menuju Ke Wawasan 2020, Islam Pada Pandangan Orang Bukan Islam di Malaysia, Zakat Membawa Berkat Mensyukuri Nikmat, Baitul Mal, Zakat dan Wakaf, : Hukum dan Pelaksanaan, Islam dan Cabaran Masa Kini, Dakwah Masa Kini dan Cabarannya, Pemindahan Ginjal, dan Peranan dan Tanggungjawab Ulama’.

Selain itu, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani juga seringkali dijemput memberikan ceramah agama, menjadi ahli panel forum, memberi ucap utama, dan membentangkan kertas kerja dalam seminar dan majlis-majlis yang dianjurkan, sama ada oleh jabatan-jabatan kerajaan, swasta, dan orang perseorangan, di peringkat negeri, kebangsaan, dan juga antarabangsa. Antara seminar dan persidangan yang pernah disertai oleh Tan Sri Dato’ Seri ialah Persidangan Ulama’ Nusantara : Islam Di Alaf Baru, Menggaris Agenda Alaf Baru, Seminar Pemindahan Ginjal dan Cabaran dan Kemajuan Yang Dihadapi Islam di Rantau Ini, dan Dialog Agama Di Antara Penganut Islam, Yahudi, dan Kristian.

Berdasarkan kepada ketokohan beliau dalam bidang keilmuan Islam, Tan Sri Dato’ Seri telah dibei kepercayaan untuk menyandang pelbagai jawatan, sama ada dalam badan-badan kerajaan, badan-badan berkanun, mahu pun sektor swasta. Antara jawatan yang masih disandang oleh beliau sehingga kini ialah Ahli Tetap Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan, Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelaras Dakwah dan Pembelajaran Negeri Perak, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Penasihat Kumpulan Maybank, Pengerusi Lembaga Pengelola Koleh UNISMA, dan Ahli Panel Penasihat Syariah Permodalan Nasional Berhad.

Secara umumnya, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani adalah seorang yang tegas dalam pendiriannya. Ketegasan beliau dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam ini sebenarnya bukan lagi menjadi rahsia, sama ada di kalangan sabahat handai, para penyokong, mahu pun mereka yang tidak sependapat dengan beliau. Sejarah telah merakamkan betapa lantangnya tokoh Ma’al Hirah 1429 / 2008 ini ketika bercakap tentang isu murtad, Sure Heboh, Majlis Perundingan Antara Agama, kongsi raya, penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam, dan yang terbaru sekali, hukuman sebat ke atas pesalah wanita.

Melihat kepada sumbangan yang begitu besar yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani kepada agama, bangsa, dan negara, maka Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan ini amat berbangga dan berbesar hati menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam kepada Yg. Amat Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Hj. Harussani b. Hj. Zakaria sempena istiadat konvokesyen UPSI kali yang ke-12.