Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Sunday, February 7, 2010

Kenapa Mesti Glamor

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Tanyalah siapa sahaja. Semua orang mahu jadi glamor dan popular. Sudah menjadi fitrah manusia mahu diberi perhatian, dihormati, dipuji, disanjung, dan dipuja. Bayangkan jika anda diberi peluang berjalan di atas red carpet. Semua mata dan lensa kamera memberi fokus terhadap diri anda. Anda pasti akan berjalan dengan penuh bergaya, bersama senyuman yang melebar, dan mungkin sedikit kembang hidung.

Glamor tidak mengenal sesiapa. Semua orang berpotensi untuk menjadi glamor, tanpa mengira bangsa, warna kulit, bentuk fizikal tubuh, orang biasa atau anak raja, mahu pun tahap pendidikan dan kemahiran seseorang. Yang penting, anda mesti berusaha untuk menjadi glamor, walaupun kadang-kadang terpaksa melakukan sesuatu yang bodoh, membazir, memalukan, dan mengundang fitnah, termasuklah menggadai maruah sekalipun. Peribahasa Arab ada menyebut ; “Lakukanlah perkara yang pelik, anda pasti akan dikenali”.

Dalam dunia moden hari ini, glamor menjanjikan kemasyhuran dan kekayaan, dan mungkin juga kejayaan, walaupun dalam perspektif yang kabur. Lihatlah penyanyi, pelakon, dan bintang sukan yang terkenal. Semua mereka menjadi kaya-raya lantaran imej mereka yang popular di mata masyarakat. Semua syarikat daripada yang bertaraf enterprise dan trading sehinggalah kepada yang bertaraf multi-nasional dan antarabangsa, masing-masing berlumba-lumba menjadikan bintang-bintang popular ini sebagai model barangan atau perkhidmatan yang mereka tawarkan.

Lupakan tahap pendidikan dan ilmu yang mereka ada. Pejamkan mata buat seketika tentang isu moral dan akhlaq bintang-bintang tersebut. Yang pentingnya mereka boleh menjadi jurucakap yang mampu menghafal skrip yang telah disediakan. Dan yang lebih penting lagi, mereka mampu mempengaruhi masyarakat supaya mempercayai kebaikan, kecanggihan, kemujaraban, keunikan, dan keabsahan produk-produk yang dipromosikan dan diiklankan oleh mereka.

Justeru itu, tidak hairanlah jika uji bakat bagi mencari bakat baru dalam bidang nyanyian sepuluh kali ganda lebih ramai daripada jumlah mereka yang menghadiri uji bakat bagi program realiti Akademi Al-Quran. Sebahagian besar yang hadir berangan-angan untuk menjadi penyanyi dan seterusnya mengecapi kehidupan yang penuh glamor, sedangkan sebahagian daripada mereka langsung tidak mempunyai bakat, sehinggakan terdapat juri yang tidak teragak-agak menyebut ; “Saya rasa kami sebulat suara memilih untuk menyingkirkan kamu daripada pertandingan ini”.

Maaf jika saya menyebut bahawa budaya glamor yang berlaku sekarang ini sebenarnya adalah budaya kuning yang diimport dari barat, khususnya Hollywood. Budaya ini langsung tidak ada kena mengena dengan budaya Melayu, apatah lagi agama Islam. Siapa yang mula-mula sekali mensensasikan kisah kehidupan para artis, termasuk kisah perceraian dan pergolakan rumah tangga artis kalau bukan Hollywood. Bukankah Hollywood yang telah memperkenalkan red carpet dengan imej-imej serta simbol-simbol kemegahan dan kemewahan yang melingkarinya.

Akhirnya kita di sini menganggap itulah simbol prestij, kemegahan dan glamor yang seharusnya diikuti oleh artis-artis negara ini. Maka ramailah artis yang mula berani berkemban semasa melalui red carpet. Mereka merasa megah apabila betis putih mereka menjadi perhatian para hadirin, pinggang rampin mereka mampu menawan VIP-VIP yang ternama, dan kepadatan serta penonjolan buah dada mereka menarik perhatian lensa kamera para wartawan. Mungkin itulah makna di sebalik cogankata “artis adalah milik masyarakat” pada pandangan mereka.

Sama ada disedari atau tidak, dunia glamor sebenarnya telah membunuh ramai individu-individu terkenal sebelum ini. Siapa yang tidak kenal dengan Marilyn Monroe, James Dean, Elvis Presly, John Lennon, Lady Diana, George Best, dan yang terbaru Anna Nicole Smith. Kesemua mereka mati angkara sumpahan glamor dan populariti yang menghambat diri mereka setiap hari dan setiap waktu.

Bahagiakah agaknya kehidupan seharian Paris Hilton, Britney Spears, Putera Harry, Elizaberth Taylor, Wayne Rooney, Malika Sherawat, Bipasha Basu, dan banyak lagi selebriti Hollywood dan Bollywood yang senasib dengan mereka. Bahagia apa namanya kalau terpaksa menggunakan dadah untuk menenangkan fikiran, menelan pil tidur untuk melelapkan mata, meneguk najis arak untuk berseronok, meniduri pelacur untuk memuaskan nafsu, dan menghadiri parti-parti liar untuk melupakan masalah yang berlaku.

Itu yang berlaku di tempat orang. Di negara ini skrip yang lebih kurang sama juga berlaku. Lupakah anda peristiwa yang berlaku kepada Along, vokalis kumpulan Spoon yang mati dibunuh akibat cemburu. Ingatkah lagi bahana populariti yang menimpa Noralbaniah, Datin Normala Shamsudin, Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Noraniza Idris, Jamal Abdillah, Awie, dan yang terbaru, siapa lagi kalau bukan Asmawi Ani.

Kalau pun tidak hampir memusnahkan kehidupan dan kerjaya artis-artis popular tersebut, populariti yang mereka kecapi sekurang-kurangnya telah mendatangkan masalah dan kesusahan kepada diri, keluarga, dan insan-insan yang berada di sekeliling mereka. Nasib baiklah wartawan-wartawan di negara ini tidaklah seteruk dan segila paparazzi di negara-negara barat. Kalau tidak, saya tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku. Mungkin ada yang akan membunuh diri dek masalah yang dicipta oleh mereka sendiri.

Dalam hal ini saya tabik kepada wartawan-wartawan hiburan tanah air. Sebahagian besar daripada mereka masih lagi berpegang kepada etika kewartawanan untuk tidak mendedahkan identiti selebriti-selebriti yang dikesan melakukan keaiban yang melampau. Walaupun gambar selebriti tersebut yang berbikini di tepi pantai disiarkan, muka mereka digelapkan supaya gagal dikenalpasti oleh pembaca. Walaupun kisah artis yang berpacaran dengan suami orang didedahkan di akhbar, orang ramai masih gagal mengesan individu sebenar yang terlibat.

Semuanya ini bukan bertujuan untuk memalukan mahu pun menjatuhkan sesiapa, malah tidak lain untuk memberi peluang dan masa bagi artis dan selebriti tersebut bertaubat, insaf, dan seterusnya memperbaiki kelemahan diri, di samping menyelesaikan masalah yang berlaku. Yang sudah tu, sudahlah. Jangan kita terikut-ikut dengan budaya glamor yang sudah sebati di negara-negara barat. Kita ada agama, nilai-nilai moral, dan adab-adab ketimuran yang mesti dijaga.

Justeru itu, kita merasa sedikit keliru apabila ada pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mahu menghidupkan dan mempopularkan budaya glamor ini. Apa perlunya artis dan selebriti terkenal dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, dan sebagainya sehinggalah kepada gelaran yang paling diidam-idamkan, iaitu Artis Paling Popular.

Jangan kata anugerah tersebut bertujuan untuk memartabatkan dunia seni dan hiburan tanah air. Jangan kata hadiah dan wang tunai yang diberikan sebagai menghargai jasa artis-artis tesebut dalam menghidupkan industri hiburan negara. Jangan pula berdalih kononnya anugerah tersebut diadakan bagi membolehkan para peminat memilih dan menentukan kedudukan artis-artis yang mereka minati dalam kategori-kategori yang tertentu.

Tidak cukupkah dengan program-program seperti Anugerah Industri Muzik, Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin, dan Juara Lagu bagi tujuan di atas. Apakah kayu ukur yang digunakan oleh peminat berbanding juri profesional dalam menentukan populariti seseorang artis. Adakah mutu lakonan, kemantapan vokal, hasil kerja seni yang dilakukan, dan budi pekerti yang diutamakan. Atau mungkin kecantikan, ketampanan, bentuk tubuh, skandal, dan pergolakan dalam cinta yang diambil kira.

Justeru itu, tidak hairanlah jika ucapan bintang-bintang popular semasa menerima anugerah pada malam tersebut menerima kritikan yang pedas daripada para wartawan dan pengkritik seni tanah air. Ada yang terlalu ghairah, ada yang mempromosikan diri sendiri, ada yang mengucapkan terima kasih tidak kena pada tempatnya, dan ada yang menyindir rakan seperjuangan.

Sepatutnya mereka ini mengucapkan terima kasih kepada para peminat. Meminta para peminat agar tidak terlibat dalam industri cetak rompak, sama ada membeli mahu pun menjual cakera padat cetak rompak. Sepatutnya bintang-bintang popular tersebut mengambil kesempatan mendidik masyarakat supaya menghargai dan menonton filem-filem yang bermutu, bukan sekadar bergelak ketawa menonton komedi-komedi bodoh yang ditayangkan.

Sayang sekali pada malam tersebut tidak ada seorang pun bintang popular yang mengeluarkan ucapan yang lebih kurang seperti berikut : “Saya begitu teruja sekali pada malam ini kerana diberi peluang berjalan di atas red carpet. Namun entah kenapa tiba-tiba diri ini terasa begitu kerdil kerana memikirkan nasib saya apabila berjalan di titian siratal mustaqim di hadapan Allah di hari akhirat kelak. Walaupun pada malam ini saya diangkat sebagai bintang popular, anugerah tersebut bukanlah sesuatu yang saya kejar dalam hidup dan kerjaya saya. Bagi saya, apa yang lebih penting ialah apa yang kita tinggalkan untuk manusia dan kemanusiaan. Sekian, terima kasih”.

(Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Al-Islam, Mei 2007)

No comments:

Post a Comment