Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Wednesday, February 3, 2010

Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Tidak semena-mena nama Tengku Razaleigh Hamzah kini menjadi popular semula setelah hampir terbuang dan dibuangkan dari landskap politik negara. Ironinya, bekas Pengerusi Petronas itu menjadi popular setelah mengambil pendirian yang bertentangan dengan pendirian kerajaan pusat dalam isu royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu.

Bagi rakyat Kelantan, kemunculan semula Ku Li dalam pentas politik Kelantan amat dinanti-nantikan dan dialu-alukan. Sebelum ini pun, iaitu ketika pilihanraya umum pada tahun 1990, rakyat Kelantan ketika itu telah memberi kepercayaan yang besar kepada Ku Li untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, sehinggakan UMNO Kelantan kalah teruk dalam pilihanraya tersebut.

Walaupun peristiwa tersebut sudah 20 tahun berlalu, namun pengaruh Tengku Razaleigh di kalangan rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang ini nampaknya masih belum pudar. Buktinya, puluhan ribu rakyat Kelantan telah membanjiri Stadium Sultan Mohamed Ke-IV pada 28 Januari 2010 yang lalu semata-mata ingin mendengar sendiri penjelasan daripada anak raja Kelantan itu berhubung isu tuntutan royalti minyak.

Saya percaya bahawa bukan semua hadirin yang membanjiri stadium pada malam keramat itu adalah para penyokong Pas dan Pakatan Rakyat sahaja, tetapi sebahagian daripada mereka adalah para penyokong setia Ku Li dan pengundi-pengundi di atas pagar. Saya percaya, para pengundi seperti ini akan memberi kepercayaan semula kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya umum ke-13 nanti jika UMNO meletakkan kembali KU Li pada kedudukan yang lebih signifikan, sama ada dalam kerajaan, mahu pun UMNO Kelantan.

Sehubungan itu, saya dengan rendah diri dan atas sifat saya sebagai rakyat Kelantan yang prihatin, mencadangkan kepada kerajaan supaya melantik Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai jawatankuasa pemantau royalti minyak Kelantan yang turut dianggotai wakil-wakil daripada kerajaan Pas Kelantan dan juga UMNO Kelantan. Inilah satu-satunya jalan tengah yang ada daripada terus memaksa rakyat Kelantan menerima bantuan wang ehsan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Sesungguhnya rakyat Kelantan telah lama mendambakan pembangunan yang pesat sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri di pantai barat. Episod kemalangan jalanraya yang mengorbankan 15 nyawa sempena cuti Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2003 contohnya mungkin boleh dielakkan jika Kelantan mempunyai lebuh raya yang menghubungkan Kota Bharu – Kuala Lumpur.

Pilihanraya umum ke-13 sudah semakin hampir. UMNO dan BN sebenarnya sudah tidak ada masa lagi untuk bermain tarik tali dengan rakyat Kelantan. Jadi bertindaklah segera, kecuali jika UMNO tidak berminat untuk memerintah Kelantan, negeri yang kaya dengan minyak, tetapi malangnya papa kedana.

No comments:

Post a Comment