Oleh : Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
Antara tafsiran al-Quran yang berbentuk Isra’iliyyat yang paling diminati ialah kisah pembunuhan Habil oleh Qabil akibat berebut gadis cantik. Dikatakan Nabi Adam a.s. memerintahkan supaya Habil berkahwin dengan saudara perempuan kandung Qabil, manakala Qabil pula berkahwin dengan saudara perempuan kandung Habil. Oleh kerana saudara perempuan kandung Habil kurang cantik berbanding saudara perempuan kandungnya sendiri, Qabil enggan mematuhi arahan ayahandanya itu.
Sehubungan itu, Allah memerintahkan supaya Qabil dan Habil melakukan qorban (persembahan) bagi menentukan pihak yang benar. Qabil memilih mempersembahkan gandum yang kurang elok kepada Allah, manakala Habil memilih kambing yang sihat dan gemuk untuk dipersembahkan. Apabila Allah menerima qorban Habil, Qabil menjadi dengki dan mula memikirkan untuk membunuh Habil.
Sama ada benar atau pun tidak, kisah Isra’iliyyat ini boleh dikatakan menduduki ranking yang kedua selepas ‘kisah cinta’ antara Nabi Yusuf a.s. dengan Zulaikha dari sudut perhatian yang diberikan oleh orang-orang Islam. Sejak dahulu hingga kini, kisah cinta antara lelaki dan perempuan, serta peristiwa-peristiwa yang berhubung kait dengan kisah tersebut sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.
Menyedari hakikat inilah, Hollywood telah mengeksploitasi sepenuhnya minat masyarakat ini melalui filem-filem yang dihasilkan. Sama ada bagi tujuan mengaut keuntungan atau menyampaikan mesej-mesej yang tertentu, filem-filem Hollywood yang berkaitan dengan cinta dan tragedi telah mendapat sambutan yang hebat di kalangan peminat-peminat filem. Malah kalau boleh, Hollywood mahu mengaitkan semua tragedi yang berlaku, khususnya tragedi-tragedi yang besar, berhubung kait dengan cinta, atau mengandungi kisah cinta di sebalik tragedi tersebut.
Melalui filem Pearl Harbor contohnya, Hollywood telah memaparkan kisah cinta tiga segi antara Rafe Mc Cawley, Danny Walker, dan Evelyn Johnson. Kerana menyangka rakan karibnya itu (Rafe) telah meninggal dunia, Danny telah jatuh cinta kepada Evelyn sehingga menyebabkan Evelyn mengandung anak luar nikah. Akibat serangan mengejut tentera Jepun ke atas Pearl Harbor pada 7 Disember 1941, Rafe dan Danny terpaksa menyertai satu misi yang dinamakan Doolittle Raid pada 18 April 1942. Dalam misi serangan Amerika ke atas Jepun tersebut, Danny telah terbunuh, dan Rafe dan Evelyn akhirnya berkahwin selepas peristiwa tersebut.
Cinta tiga segi juga turut dipaparkan oleh Hollywood dalam filem Titanic, iaitu cinta antara Rose Dewitt Bukater, Jack Dawson, dan Caledon “Cal” Hockley. Akibat tidak tahan dengan sifat cemburu Cal dan tekanan daripada si ibu, Rose mengambil keputusan untuk membunuh diri, sebelum diselamatkan oleh Jack. Percintaan antara Rose dan Jack bagaimanapun tidak kekal lama memandangkan Jack terbunuh dalam tragedi kapal Titanic pada 15 April 1912 itu.
Sama ada disengajakan atau pun tidak, kedua-dua filem ini mempunyai per-samaan dengan cerita Qabil dan Habil sebelum ini. Bagaimanapun, cerita Qabil dan Habil tersebut tidak mempunyai sebarang asas untuk dipercayai dan diakui keabsahannya. Hal ini kerana dalam al-Quran, Allah Ta‘ala hanya menyatakan sebab pembunuhan Habil ialah kerana sifat hasad dengki yang ada pada Qabil. Tujuan persembahan qorban pula ialah untuk menguji tahap keimanan yang ada pada anak-anak Adam a.s. Oleh itu, tidak berbangkit langsung kisah perebutan perempuan cantik antara Qabil dan Habil.
Kisah Isra’iliyyat ini sebenarnya berpunca daripada orang-orang Yahudi yang memeluk agama Islam yang memetik kisah tersebut daripada kitab-kitab agama Yahudi yang pastinya diragui kesahihannya. Kisah ini kemudiannya dinukilkan dalam kitab-kitab tafsir tanpa sebarang pengesahan daripada pengarangnya. Oleh kerana kisah-kisah seperti ini mudah menarik perhatian orang ramai, golongan oriantalis barat telah mempromosi-kan kisah-kisah Isra’iliyyat ini dengan begitu meluas sekali, khususnya dalam hasil-hasil penulisan mereka sehinggakan sebahagian besar umat Islam mempercayai kisah-kisah tersebut.
Justeru itu, apabila Hollywood mencuba mengaitkan tragedi atau peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah dengan kisah-kisah cinta yang menghiburkan penonton melalui filem-filem yang jumlahnya bukan sedikit, tindakan Hollywood tersebut seolah-olah mahu mengesahkan kisah cinta Isra’iliyyat yang membabitkan Qabil dan Habil tersebut, sedangkan kisah-kisah cinta yang dipaparkan oleh Hollywood itu sendiri pun diragui kesahihannya.
Kisah cinta antara Jack dan Rose dalam filem Titanic misalnya langsung tidak mempunyai sandaran untuk dipercayai, memandangkan kisah tersebut hanya diambil daripada satu pihak sahaja, iaitu cerita yang disampaikan oleh Rose Dewitt Bukater ketika beliau sudah pun tua. Malah, Rose Dewitt Bukater sendiri mengakui dia tidak mempunyai sebarang bukti bagi mengesahkan kebenaran ceritanya itu.
Sebenarnya tidak salah untuk memaparkan kisah cinta di sebalik tragedi yang berlaku, apatah lagi jika kisah cinta tersebut mempunyai nilai pengajaran dan sememangnya berlaku. Namun, sekiranya trend mengaitkan kisah cinta dengan tragedi ini tidak dikawal dan ditangani dengan sebaik mungkin, kita bimbang terdapat pihak-pihak tertentu yang akan menggunakan minat masyarakat terhadap kisah cinta untuk mengalihkan perhatian para penonton daripada memberi perhatian terhadap fakta sejarah yang sepatutnya.
Oleh itu, jangan terkejut sekiranya suatu hari nanti Hollywood akan memfilemkan kisah pembunuhan J.W.W. Birch, maka jalan ceritanya adalah lebih kurang seperti yang berikut :
J.W.W. Birch adalah Residen British di Perak yang terkenal sebagai kaki betina. Beliau suka mandi di sungai sambil mengusik gadis-gadis dan wanita-wanita Melayu yang mandi berkemban di sungai. Antara mereka yang pernah diusik oleh Birch ialah kekasih Puntum, isteri Dato’ Maharaja Lela, dan anak gadis Dato’ Sagor. Akhir sekali, dengan menggunakan pengaruh dan wang ringgit, Birch berjaya memikat kekasih Puntum untuk dijadikan perempuan simpanannya.
Marah dengan tindakan Birch tersebut, Puntum akhirnya berjaya mendesak Dato’ Maharaja Lela dan Dato’ Sagor supaya mengadakan komplot bagi membunuh J.W.W. Birch. Dalam peristiwa yang berlaku di Pasir Salak pada 2 November 1875 itu, Puntum akhirnya berjaya menikam dan membunuh J.W.W. Birch yang ketika itu sedang mandi di tebing Sungai Perak yang bersejarah itu.
Saya percaya ramai penonton yang akan menerima bulat-bulat jalan cerita yang mungkin dipaparkan oleh Hollywood ini. Jika ini berlaku, maka tercapailah hasrat Hollywood untuk menggelapkan fakta sejarah di sebalik kisah pembunuhan J.W.W. Birch, iaitu bagi menegakkan keadilan dan membela agama Islam, adat-adat Melayu, dan nasib orang-orang Melayu yang tertindas akibat penjajahan British.
Sehubungan itu, sekalung tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Seniman Negara, Tan Sri Jins Shamsuddin kerana pernah menolak tawaran daripada sebuah syarikat perfileman dari Hollywood bagi menaja pembikinan filem King of The River mengikut citarasa, serta syarat dan terma yang ditetapkan oleh mereka.
Thursday, June 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment