Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Thursday, June 24, 2010

Cinta dan Tragedi

Oleh : Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com

Antara tafsiran al-Quran yang berbentuk Isra’iliyyat yang paling diminati ialah kisah pembunuhan Habil oleh Qabil akibat berebut gadis cantik. Dikatakan Nabi Adam a.s. memerintahkan supaya Habil berkahwin dengan saudara perempuan kandung Qabil, manakala Qabil pula berkahwin dengan saudara perempuan kandung Habil. Oleh kerana saudara perempuan kandung Habil kurang cantik berbanding saudara perempuan kandungnya sendiri, Qabil enggan mematuhi arahan ayahandanya itu.

Sehubungan itu, Allah memerintahkan supaya Qabil dan Habil melakukan qorban (persembahan) bagi menentukan pihak yang benar. Qabil memilih mempersembahkan gandum yang kurang elok kepada Allah, manakala Habil memilih kambing yang sihat dan gemuk untuk dipersembahkan. Apabila Allah menerima qorban Habil, Qabil menjadi dengki dan mula memikirkan untuk membunuh Habil.

Sama ada benar atau pun tidak, kisah Isra’iliyyat ini boleh dikatakan menduduki ranking yang kedua selepas ‘kisah cinta’ antara Nabi Yusuf a.s. dengan Zulaikha dari sudut perhatian yang diberikan oleh orang-orang Islam. Sejak dahulu hingga kini, kisah cinta antara lelaki dan perempuan, serta peristiwa-peristiwa yang berhubung kait dengan kisah tersebut sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.

Menyedari hakikat inilah, Hollywood telah mengeksploitasi sepenuhnya minat masyarakat ini melalui filem-filem yang dihasilkan. Sama ada bagi tujuan mengaut keuntungan atau menyampaikan mesej-mesej yang tertentu, filem-filem Hollywood yang berkaitan dengan cinta dan tragedi telah mendapat sambutan yang hebat di kalangan peminat-peminat filem. Malah kalau boleh, Hollywood mahu mengaitkan semua tragedi yang berlaku, khususnya tragedi-tragedi yang besar, berhubung kait dengan cinta, atau mengandungi kisah cinta di sebalik tragedi tersebut.

Melalui filem Pearl Harbor contohnya, Hollywood telah memaparkan kisah cinta tiga segi antara Rafe Mc Cawley, Danny Walker, dan Evelyn Johnson. Kerana menyangka rakan karibnya itu (Rafe) telah meninggal dunia, Danny telah jatuh cinta kepada Evelyn sehingga menyebabkan Evelyn mengandung anak luar nikah. Akibat serangan mengejut tentera Jepun ke atas Pearl Harbor pada 7 Disember 1941, Rafe dan Danny terpaksa menyertai satu misi yang dinamakan Doolittle Raid pada 18 April 1942. Dalam misi serangan Amerika ke atas Jepun tersebut, Danny telah terbunuh, dan Rafe dan Evelyn akhirnya berkahwin selepas peristiwa tersebut.

Cinta tiga segi juga turut dipaparkan oleh Hollywood dalam filem Titanic, iaitu cinta antara Rose Dewitt Bukater, Jack Dawson, dan Caledon “Cal” Hockley. Akibat tidak tahan dengan sifat cemburu Cal dan tekanan daripada si ibu, Rose mengambil keputusan untuk membunuh diri, sebelum diselamatkan oleh Jack. Percintaan antara Rose dan Jack bagaimanapun tidak kekal lama memandangkan Jack terbunuh dalam tragedi kapal Titanic pada 15 April 1912 itu.

Sama ada disengajakan atau pun tidak, kedua-dua filem ini mempunyai per-samaan dengan cerita Qabil dan Habil sebelum ini. Bagaimanapun, cerita Qabil dan Habil tersebut tidak mempunyai sebarang asas untuk dipercayai dan diakui keabsahannya. Hal ini kerana dalam al-Quran, Allah Ta‘ala hanya menyatakan sebab pembunuhan Habil ialah kerana sifat hasad dengki yang ada pada Qabil. Tujuan persembahan qorban pula ialah untuk menguji tahap keimanan yang ada pada anak-anak Adam a.s. Oleh itu, tidak berbangkit langsung kisah perebutan perempuan cantik antara Qabil dan Habil.

Kisah Isra’iliyyat ini sebenarnya berpunca daripada orang-orang Yahudi yang memeluk agama Islam yang memetik kisah tersebut daripada kitab-kitab agama Yahudi yang pastinya diragui kesahihannya. Kisah ini kemudiannya dinukilkan dalam kitab-kitab tafsir tanpa sebarang pengesahan daripada pengarangnya. Oleh kerana kisah-kisah seperti ini mudah menarik perhatian orang ramai, golongan oriantalis barat telah mempromosi-kan kisah-kisah Isra’iliyyat ini dengan begitu meluas sekali, khususnya dalam hasil-hasil penulisan mereka sehinggakan sebahagian besar umat Islam mempercayai kisah-kisah tersebut.

Justeru itu, apabila Hollywood mencuba mengaitkan tragedi atau peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah dengan kisah-kisah cinta yang menghiburkan penonton melalui filem-filem yang jumlahnya bukan sedikit, tindakan Hollywood tersebut seolah-olah mahu mengesahkan kisah cinta Isra’iliyyat yang membabitkan Qabil dan Habil tersebut, sedangkan kisah-kisah cinta yang dipaparkan oleh Hollywood itu sendiri pun diragui kesahihannya.

Kisah cinta antara Jack dan Rose dalam filem Titanic misalnya langsung tidak mempunyai sandaran untuk dipercayai, memandangkan kisah tersebut hanya diambil daripada satu pihak sahaja, iaitu cerita yang disampaikan oleh Rose Dewitt Bukater ketika beliau sudah pun tua. Malah, Rose Dewitt Bukater sendiri mengakui dia tidak mempunyai sebarang bukti bagi mengesahkan kebenaran ceritanya itu.

Sebenarnya tidak salah untuk memaparkan kisah cinta di sebalik tragedi yang berlaku, apatah lagi jika kisah cinta tersebut mempunyai nilai pengajaran dan sememangnya berlaku. Namun, sekiranya trend mengaitkan kisah cinta dengan tragedi ini tidak dikawal dan ditangani dengan sebaik mungkin, kita bimbang terdapat pihak-pihak tertentu yang akan menggunakan minat masyarakat terhadap kisah cinta untuk mengalihkan perhatian para penonton daripada memberi perhatian terhadap fakta sejarah yang sepatutnya.

Oleh itu, jangan terkejut sekiranya suatu hari nanti Hollywood akan memfilemkan kisah pembunuhan J.W.W. Birch, maka jalan ceritanya adalah lebih kurang seperti yang berikut :

J.W.W. Birch adalah Residen British di Perak yang terkenal sebagai kaki betina. Beliau suka mandi di sungai sambil mengusik gadis-gadis dan wanita-wanita Melayu yang mandi berkemban di sungai. Antara mereka yang pernah diusik oleh Birch ialah kekasih Puntum, isteri Dato’ Maharaja Lela, dan anak gadis Dato’ Sagor. Akhir sekali, dengan menggunakan pengaruh dan wang ringgit, Birch berjaya memikat kekasih Puntum untuk dijadikan perempuan simpanannya.

Marah dengan tindakan Birch tersebut, Puntum akhirnya berjaya mendesak Dato’ Maharaja Lela dan Dato’ Sagor supaya mengadakan komplot bagi membunuh J.W.W. Birch. Dalam peristiwa yang berlaku di Pasir Salak pada 2 November 1875 itu, Puntum akhirnya berjaya menikam dan membunuh J.W.W. Birch yang ketika itu sedang mandi di tebing Sungai Perak yang bersejarah itu.

Saya percaya ramai penonton yang akan menerima bulat-bulat jalan cerita yang mungkin dipaparkan oleh Hollywood ini. Jika ini berlaku, maka tercapailah hasrat Hollywood untuk menggelapkan fakta sejarah di sebalik kisah pembunuhan J.W.W. Birch, iaitu bagi menegakkan keadilan dan membela agama Islam, adat-adat Melayu, dan nasib orang-orang Melayu yang tertindas akibat penjajahan British.

Sehubungan itu, sekalung tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Seniman Negara, Tan Sri Jins Shamsuddin kerana pernah menolak tawaran daripada sebuah syarikat perfileman dari Hollywood bagi menaja pembikinan filem King of The River mengikut citarasa, serta syarat dan terma yang ditetapkan oleh mereka.

Friday, June 4, 2010

Bila Jom Heboh Berlabuh Di Kota Bharu

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Pada 26 dan 27 Mac 2010 yang lalu, program jelajah hiburan dan informasi TV3, Jom Heboh mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila buat pertama kalinya berjaya menjejakkan kaki ke bumi Cik Siti Wan Kembang. Program yang berlangsung selama dua hari dua malam itu telah berjaya menarik ratusan ribu rakyat Kelantan berkunjung ke Stadium Sultan Mohamed Ke-IV bagi melihat dengan lebih dekat lagi selebriti-selebriti TV3 yang sebelum ini hanya mampu dilihat di kaca televisyen sahaja.

Namun, dalam kemeriahan pesta tersebut, terdapat satu perkara yang masih kurang difahami oleh kebanyakan rakyat negara ini, iaitu apabila kerajaan Kelantan, atau lebih tepat lagi Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, melarang persembahan nyanyian oleh artis wanita. Alasan yang diberikan ialah persembahan artis wanita menyalahi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan 1998.

Walau apapun alasan yang diberikan, larangan tersebut sebenarnya adalah lanjutan daripada larangan Dato’ Nik Aziz terhadap qariah Kelantan daripada menyertai Musabaqah Al-Quran semenjak tahun 1990 dahulu lagi. Semasa memberikan justifikasi terhadap larangan tersebut, satu-satunya Menteri Besar yang mendapat panggilan Tuan Guru itu seingat saya pernah mengeluarkan kenyataan yang lebih kurang seperti berikut :

“Saya sememangnya bersetuju dengan pendapat bahawa suara perempuan itu bukan aurat. Tetapi saya tidak boleh bersetuju dengan tindakan orang perempuan yang sengaja melunakkan suara bagi menarik perhatian orang lain, walaupun dengan tujuan untuk membaca al-Quran”.

Pendapat Tuan Guru Dato’ Nik Aziz ini sebenarnya bukanlah perkara yang baru, malah telah dibincangkan oleh ramai ulama sebelum ini. Dalam hal ini, Dr. Wahbah al-Zuhailiy dalam kitab beliau, al-Fiqh al-Islamiy menyebut :

“Jumhur ulama berpendapat bahawa suara perempuan bukan aurat kerana para sahabat turut bertanyakan isteri-isteri Nabi s.a.w. berkaitan hukum-hukum agama. Namun, diharamkan mendengar suara perempuan yang dialunkan secara lunak dan berirama kerana dibimbangi berlakunya fitnah, walaupun bagi tujuan membaca al-Quran”.

Maknanya di sini, kaum wanita tidak boleh menyanyi untuk didengari oleh kaum lelaki, kerana tabiat nyanyian itu sendiri menuntut seseorang penyanyi itu melunakkan suara. Nampak gayanya, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz berpegang kuat kepada pendapat jumhur ulama ini.

Bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan wanita menyanyi dalam majlis yang turut dihadiri oleh kaum lelaki dengan syarat-syarat yang tertentu. Perkara ini dijelaskan oleh Rejab Abu Malih dalam kitab beliau Baynal Fann Wal Fiqh. Menurut Rejab Abu Malih :

“Prof. Dr. Syeikh Ahmad al-Syarbadi, pensyarah di Universiti al-Azhar menyebut : Hukum mendengar suara nyanyian wanita adalah bergantung kepada keadaan suara tersebut. Sekiranya suara wanita itu suara yang lemah lembut dan menaikkan syahwat maka hukum nyanyian ini adalah haram. Hukum lelaki mendengarnya pun adalah haram kerana boleh menyebabkan terjebak dalam dosa. Hal ini juga kerana suara seperti ini boleh menimbulkan godaan kepada orang lelaki.

Demikian juga sekiranya terdapat perkara yang haram dalam nyanyian tersebut, maka nyanyian tersebut menjadi haram, dan mendengarnya juga adalah haram. Adapun sekiranya nyanyian itu seperti yang berikut, maka hukumnya tidak haram, iaitu :

1) Suara yang normal, terpelihara dari perkara yang haram, tidak ada yang lemah gemalai dan tidak menyebabkan godaan kepada lelaki.
2) Lirik yang baik, terpelihara dari perkara yang tidak elok dan lirik yang menggalakkan kepada perkara yang baik.

Dalam sirah Nabawiyah ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. pergi ke rumah seorang sahabiah bernama Rubaie’ binti Mu‘awwiz r.a. untuk memberi tahniah sempena perkahwinannya. Sampai di sana, Nabi s.a.w. mendengar beberapa orang wanita muda memukul gendang dan mendendangkan nyanyian.

Nabi s.a.w. tidak menegah mereka menyanyi sehinggalah apabila mereka menyebut lirik yang bermaksud : “Kami mempunyai Nabi yang mengetahui apa yang terjadi pada esok hari”, Nabi s.a.w. pun bersabda yang bermaksud : “Jangan sebut rangkap ini dan nyanyikanlah dengan rangkap-rangkap nyanyian yang sebelumnya” (Hadith riwayat Ibnu Majah, no. hadith 1887).

Dalam Pas sendiri, bukan tidak ada pemimpin mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian Dato’ Nik Aziz dalam isu ini, tetapi kebanyakan daripada mereka mengambil sikap membisu. Antara pemimpin Pas yang berani bertelingkah pendapat dengan Tuan Guru dalam isu ini ialah Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Dr. Hamzah Jaafar sebagaimana yang pernah disiarkan dalam Harakah.

Saya melihat pendirian keras Tuan Guru Dato’ Nik Aziz dalam isu ini telah menjerat dirinya sendiri, khususnya apabila beliau menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan semula penyertaan qariah Kelantan dalam Musabaqah al-Quran. Bagi menjustifikasikan kesediaan beliau tersebut, Dato’ Nik Aziz terpaksa mereka-reka alasan kononnya Musabaqah al-Quran dilihat oleh beliau sebelum ini sama naik dengan pertandingan nyanyian menyebabkan beliau terpaksa melarang qariah Kelantan daripada menyertainya.

Bagi saya, pendirian Dato’ Nik Aziz yang baru sahaja dilanjutkan jawatan sebagai Mursyidul Am Pas dalam isu suara wanita dan hiburan ini tidak banyak menguntungkan Pas dari sudut politik dan juga tidak banyak menguntungkan agama Islam itu sendiri dari sudut dakwah. Kedudukan komposisi kaum dan agama di negara ini tidak memungkinkan Dato’ Nik Aziz dan Pas untuk merealisasikan pendapat pertama di atas, khususnya di peringkat kerajaan pusat.

Dalam hal ini juga, kita tidak boleh memarahi masyarakat bukan Islam jika mereka menganggap Pas sebagai parti yang ekstrem terhadap wanita. Malah, tidak mustahil dalam pilihanraya ke-13 akan datang, masyarakat bukan Islam akan teragak-agak untuk memberi sokongan terhadap Pas lantaran persepsi bahawa Pas akan mendiskriminasikan wanita jika diberi peluang memerintah kerajaan pusat, khususnya dalam hal-hal yang melibatkan industri hiburan.

Berbalik kepada program Jom Heboh di Kota Bharu tersebut, saya ingin menarik perhatian para pembaca, manakah yang lebih baik dan berfaedah antara lagu-lagu dakwah yang dinyanyikan oleh artis wanita, contohnya lagu Doa nyanyian Rahimah Rahim, dengan lagu Cukuplah Sekali yang dinyanyian oleh Jay Jay pada malam konsert Jom Heboh tersebut. Saya tidak pasti sama ada Tuan Guru bersetuju atau tidak jika saya mengatakan bahawa lagu Jay Jay tersebut adalah lebih baik semata-mata kerana dia adalah penyanyi lelaki, bukan wanita.

Tuesday, June 1, 2010

Benarkan Pegawai Kumpulan "A" Aktif Berpolitik

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Semenjak Pilihanraya Umum 2008 yang lalu hingga sekarang, rasanya sudah lenguh jari jemari kita menghitung senarai ahli politik, termasuk wakil rakyat yang meninggal dunia, atau keluar masuk hospital akibat penyakit, termasuk keluar masuk Institut Jantung Negara (IJN). Senario ini menyebabkan sesetengah pihak mencadangkan agar setiap parti politik mengadakan saringan tahap kesihatan terhadap setiap calon yang akan bertanding dalam pilihanraya.

Dari satu sudut, cadangan tersebut sememangnya baik, namun secara realistiknya sukar untuk dilaksanakan kerana setiap parti politik mempunyai kriteria yang tersendiri dalam pemilihan calon. Dalam hal ini, antara kriteria utama yang diambil kira ialah pengaruh, pengalaman, dan kematangan berfikir, merancang, dan menyelesaikan masalah yang dimiliki oleh calon berkenaan.

Dalam senario politik di negara ini, pada pemerhatian saya, kebanyakan calon pilihanraya yang memenuhi kriteria-kriteria yang dikehendaki terdiri daripada mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan awam. Hal ini terjadi kerana calon-calon heavyweight tersebut pada asasnya tidak mahu menanggung risiko kehilangan wang pencen, atau kalah dalam pilihanraya.

Justeru itu, bagi menggalakkan lebih ramai calon muda menyertai pilihanraya dan terlilbat aktif dalam parti-parti politik, saya dengan rendah diri mencadangkan agar kerajaan membenarkan pegawai kumpulan A yang juga dikenali sebagai kumpulan pengurusan dan profesional bergiat aktif dalam parti politik. Pada masa yang sama, kerajaan juga seharusnya membenarkan mana-mana individu yang ingin menjadi calon dalam pilihanraya tidak perlu meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam.

Memang ada pro dan kontranya dalam isu ini. Namun bagi saya, kebaikan kepada pembangunan negara adalah lebih banyak berbanding keburukan yang dibimbangi dan selalu diperkatakan. Dalam hal ini, sekiranya terdapat pegawai yang mengabaikan tugas kerana sibuk dengan urusan parti, maka tindakan tatatertib hendaklah diambil dengan tegas tanpa mengira parti politik mana yang dianggotai oleh pegawai terbabit.

Sesungguhnya perkembangan terkini yang berlaku di seluruh dunia menuntut sesebuah negara itu cepat dan mampu mengadaptasi keupayaan rakyat dengan tuntutan semasa yang semakin rencam dan pelbagai. Yang pasti, tenaga-tenaga muda amat diperlukan bagi tujuan tersebut. Dalam hal ini, tidakkah kita cemburu melihat Thailand mempunyai Perdana Menteri yang baru berumur 46 tahun, dan terkini, Britain pula mempunyai Perdana Menteri yang baru berumur 44 tahun, manakala timbalannya pula 43 tahun? Jangan lupa, Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat ketika baru berumur 47 tahun.