Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com
Semasa saya mula-mula membaca buku Sejarah Melayu pada tahun 1988 dahulu, saya menyampah dengan Tun Sri Lanang kerana mencampuradukkan sejarah dengan mitos. Saya menyampah kerana menganggap tindakan Tun Sri Lanang tersebut telah merosakkan Sejarah Melayu dan menyebabkan kesahihan Sejarah Melayu sebagai dokumen sejarah dipertikaikan.
Namun, apabila difikirkan semula, tindakan Tun Sri Lanang tersebut ada signifikannya yang tersendiri. Signifikan kerana mitos yang dikemukakan sesuai dengan tahap pemikiran masyarakat Melayu pada ketika itu. Malah, mitos-mitos seperti itulah sebenarnya yang diinginkan oleh masyarakat Melayu pada masa itu.
Pada masa itu, orang-orang Melayu berada dalam kesedihan setelah kalah dalam peperangan dengan Portugis. Menyedari senario itulah, Tun Sri Lanang merasakan jiwa orang-orang Melayu perlu dibangkitkan semula dan dimotivasikan untuk menentang penjajahan dan mengembalikan semula maruah orang-orang Melayu.
Namun, pada masa yang sama, orang-orang Melayu juga memerlukan hiburan, sekurang-kurangnya bagi menghilangkan sejenak kesedihan yang sedang melanda mereka ketika itu. Dalam situasi inilah mitos memainkan peranan sebagai hiburan alternatif bagi masyarakat Melayu pada masa itu. Keperluan manusia kepada mitos inilah yang dinamakan sebagai eskapisme.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, eskapisme bermaksud : “Tindakan atau kecenderungan melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada sesuatu perkara lain daripada masalah yang dihadapi sebagai langkah untuk mencari ketenangan”. Manakala, Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia pula menyatakan, eskapisme ialah : “Kegiatan yang dilakukan untuk melupakan realiti hidup yang tidak menyenangkan”.
Bagi tujuan melarikan diri daripada dunia realiti itu, manusia seringkali memerlukan sesuatu yang luar biasa, atau sesuatu yang mustahil, atau hampir mustahil untuk dicapai. Dalam hal ini, mitos berfungsi memberikan sesuatu yang sebelum ini tidak mungkin dimiliki oleh seseorang itu.
Jika dahulu mitos sesuatu kaum itu bersandarkan kepada cerita rakyat dari mulut ke mulut, termasuk cerita-cerita yang didokumenkan dalam bentuk tulisan, namun kini mitos telah memasuki era baru. Mitos dalam era sains dan teknologi ini, kini berkembang pula dalam bentuk elektronik, digital, dan audio-visual, selain daripada cerita-cerita yang digarap dalam bentuk novel.
Filem-filem seperti Terminator, Incredible Hulk, Transformers, Harry Potter, The Mummy, Narnia, Superman, Spiderman, X-Man, Pirates of The Caribbean, dan sebagainya adalah contoh-contoh terbaik mitos pada zaman moden. Melihat filem-filem seperti ini menjadikan kita berada dalam dunia yang lain, iaitu dunia yang melarikan kita daripada masalah di tempat kerja, rumahtangga, dan kehidupan seharian yang memenatkan, membosankan, dan kadang-kadang mencelarukan.
Walaupun seseorang itu tahu bahawa dia tidak mungkin boleh menjadi seperti Superman misalnya, namun khayalannya terhadap kuasa luar biasa yang dimiliki oleh Superman sekurang-kurangnya akan menjadikannya tenang buat seketika, walaupun ia mungkin juga tahu bahawa ketenangan yang dicari olehnya itu bukanlah ketenangan dalam erti kata yang sebenarnya.
Sama ada disedari atau pun tidak, eskapisme telah mempengaruhi kehidupan manusia, tidak kira apa bangsa, warna kulit, dan anutan agama mereka sekalipun. Malah, sebahagian daripada aktiviti ekonomi terhasil daripada tuntutan manusia terhadap eskapisme. Daripada filem, drama, novel, muzik, video lucah, majalah hiburan, komik, permainan video, dan sebagainya, kesemua instrumen tersebut sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan eskapisme.
Daripada seorang ibu tunggal yang hanya hidup di atas ihsan wang bantuan kebajikan, J. K. Rowling kini menjadi antara individu yang terkaya di dunia. Kelebihannya hanyalah satu, iaitu menggabungkan daya imaginasi yang ada pada kanak-kanak dengan keperluan eskapisme mereka melalui kuasa sihir yang luar biasa yang dimiliki oleh watak utama dalam siri novel beliau, Harry Potter.
Menyedari kuasa dan pengaruh eskapisme yang begitu kuat ke atas kehidupan manusia inilah, banyak pihak telah mengambil kesempatan mengeksploitasi eskapisme dengan cara yang tidak bermoral, menyalahi hukum syarak, dan kadang-kadang menyalahi undang-undang negara. Penagihan dadah, penyebaran video lucah, dan pertumbuhan rumah-rumah pelacuran dan pusat-pusat hiburan adalah antara instrumen eskapisme yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.
Selain itu, sejak akhir-akhir ini pula terdapat pihak-pihak tertentu dalam dunia perfileman yang begitu ghairah menerbitkan filem dan drama yang berasaskan kepercayaan terhadap perkara-perkara syirik dan kuasa-kuasa luar biasa yang dimiliki oleh pengamal-pengamal syirik. Jika tidak dibendung, kita bimbang filem dan drama seperti ini boleh memesongkan akidah para penonton, khususnya kanak-kanak dan mereka yang lemah iman dan kurang pengetahuan agama.
Walau apa pun keburukan yang diakibatkan oleh eskapisme, eskapisme adalah sifat semulajadi manusia yang tidak boleh dan tidak sepatutnya dihalang, atau dianggap jelek. Apa yang perlu dilakukan ialah mengawal eskapisme agar tidak bercanggah dengan hukum syarak dan tidak berlaku secara yang keterlaluan sehingga pelakunya menjadi ketagih dan gagal melepaskan diri daripada sumpahan eskapisme.
Ketagihan terhadap eskapisme bukan sahaja mengurangkan wang di dalam saku, malah boleh menjejaskan kesihatan dan merosakkan akal fikiran. Mereka yang sudah sampai ke tahap ketagihan ini seringkali dilihat berada dalam keresahan dan kegelisahan jika keperluannya kepada eskapisme tidak dipenuhi. Akhirnya, ketenangan yang dicari bertukar menjadi penyakit yang semakin hari semakin sukar untuk diubati.
Apa pun, bagi orang Islam kita seharusnya menyedari bahawa hanya satu sahaja cara bagi mencapai ketenangan yang hakiki, iaitu dengan mengingati Allah s.w.t., sama ada melalui solat, pembacaan al-Quran, berzikir, mahu pun melalui pentaakulan terhadap penciptaan Allah di alam semesta ini.
* Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tamat
25 Julai 2009 / 3 Sya‘ban 1430
Wednesday, November 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment