Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
Semasa berucap di hadapan pemimpin dan ahli parti Gerakan di Pulau Pinang selepas pembubaran parlimen baru-baru ini, Pak Lah telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengkaji semula dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sesungguhnya kenyataan Pak Lah tersebut amat mengejutkan dan mengecewakan, sekurang-kurangnya bagi golongan Melayu elit seperti ‘aku’.
Ada pihak berhujah bahawa pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik perlu dikembalikan semula ke dalam bahasa Melayu demi maruah dan jati diri bangsa Melayu. Aku hanya ketawa mendengar hujah dangkal tersebut. Semenjak kecil lagi aku telah dilatih supaya hanya bercakap dalam bahasa Inggeris semasa di rumah. Aku diasuh agar mempercayai bahawa kebolehan bercakap dalam bahasa Inggeris merupakan penanda aras kepada kemajuan seseorang itu.
Apa tidaknya. Seseorang yang mahir dalam bahasa Inggeris akan mudah dapat kerja, mudah naik pangkat, malah boleh jadi juga mudah dapat jodoh dengan perempuan cantik. Aku ada seorang mak saudara. Kerja dia CEO di sebuah syarikat kewangan. Dia, suami, dan anak-anak, semua fasih cakap Inggeris. Dia ada sebuah banglo besar yang orang sekarang panggil villa. Mereka anak beranak selalu dinner di KFC atau Mc Donald. Selalu juga pergi melancong ke Eropah dan US.
Kepada pembela bahasa Melayu kononnya, apa lagi yang hendak kamu perjuangkan. Tahukah kamu tidak ada fakulti perubatan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Begitu juga dengan bidang pengajian yang berkaitan dengan sains, farmasi, dan kejuruteraan di universiti. Bidang matematik dan teknologi maklumat pun belum tentu lagi. Jadi, yakin sangatkah kamu bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan teknologi.
Jangan kamu berhujah bahawa Jepun, Jerman, dan Perancis mampu menjadi negara maju tanpa menggadaikan maruah dan jati diri bahasa mereka. Siapalah kita berbanding mereka itu. Bangsa Jepun contohnya, terkenal dengan sifat suka membaca dan kuat bekerja, sedangkan mengikut statistik, rakyat Malaysia hanya membaca enam halaman buku dalam setahun. Jangan silap faham, enam halaman buku, bukan enam buah buku. Jadi kalau begini, sampai bila kita mampu maju dengan bahasa sendiri.
Jerman dan Perancis tak perlulah aku jelaskan di sini. Mereka semua maju selari dengan kemajuan Britain yang menggunakan bahasa Inggeris. Mereka semua telah lama menempuh zaman Renaissance dan Revolusi Perindustrian pada ketika kita semua masih lagi berkaki ayam. Jangan lupa dengan Singapura yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dalam urusan seharian. Di mana kita berbanding Singapura yang telah lama maju? Mampukah kita mengejar Singapura yang telah berjaya memiliki pulau Batu Putih itu?
Seperti kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, kita mesti mengejar teknologi kerana teknologi sekarang ini bergerak terlalu pantas. Jika tidak, kita akan terus ketinggalan. Begitulah lebih kurang kata-kata beliau ketika mewajarkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak lama dahulu. Maknanya sekarang, kita hanya ada dua pilihan, iaitu sama ada termengah-mengah mencuba memperkasakan bahasa Melayu dan pada masa yang sama lemas dalam gelombang perkembangan teknologi, atau kita teruskan momentum yang ada sekarang dan terus memacu menuju Wawasan 2020.
Kalau akulah, aku memilih pilihan yang kedua. Aku tidak mahu menggadai-kan masa depan anak cucu aku semata-mata kerana mempertahankan ego dan angan-angan yang entah sampai bila akan tercapai. Aku lebih rela bahasa Melayu menjadi bahasa kelas kedua seperti di Singapura asalkan anak cucu aku berjaya masuk universiti, mampu mengisi jawatan penting dalam sektor awam dan swasta, mampu bersaing dengan bangsa asing dalam sektor perdagangan dan perindustrian, dan mampu menggegar dunia melalui pencapaian-pencapaian yang menakjubkan.
Aku percaya bukan aku seorang sahaja yang berfikiran seperti ini. Malah majoriti orang Melayu pun sudah tidak ambil kisah dengan apa yang akan terjadi terhadap bangsa dan bahasa Melayu. Ingat lagi tak selepas Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Pak Lah, terdapat menteri yang begitu kuat mempertahankan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini. Apa jadi kepada menteri tersebut? Dia terus menang dalam pilihanraya umum 2004 dan terus menang dengan selesa dalam pilihanraya yang baru lalu. Siapa yang mengundi beliau kalau bukan orang Melayu?
Sekarang ini aku lihat semakin ramai orang Melayu yang bercakap dalam bahasa Inggeris (hakikatnya broken English) apabila menjawab soalan daripada wartawan. Pak-pak menteri pun nampaknya suka mencampuradukkan jawapan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, atau dalam erti kata lain bahasa rojak. Iklan-iklan dalam bahasa Inggeris pun sudah semakin banyak. Apa lagi dengan nama syarikat dan nama pertubuhan. Jadi siapa yang mahu peduli tentang nasib bahasa Melayu kalau orang Melayu sendiri pun sudah dilihat tidak berbangga dengan bahasa mereka, apatah lagi untuk mempertahankan bahasa nenek moyang mereka itu.
Aku tahu, kamu semua mengaitkan isu ini dengan identiti dan jati diri bangsa Melayu. Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu bagi kamu merupakan penanda aras kepada jati diri bangsa Melayu. Kamu selalu berhujah bahawa bahasa Melayu sudah digunakan secara meluas sebagai bahasa lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Tapi itu dulu, bukan sekarang.
Dulu sultan Melayu Melaka menjadikan al-Quran dan hadith sebagai rujukan mereka dalam perundangan. Para ulama pula menjadi tempat rujukan dan mendapat nasihat. Namun kini, para pemimpin kita masih lagi berdolak dalik untuk tidak menggunapakai perlembagaan dan undang-undang warisan penjajah British. Dulu datuk nenek kita akan tanya kepada bakal menantu, sudah khatam Quran atau pun belum. Tapi kini pertanyaan lebih tertumpu kepada kerjaya, pendapatan bulanan, dan harta yang dimiliki.
Dulu masyarakat Melayu bangga dengan sukan tradisi seperti congkak, gasing, dan sepak raga. Bangga dengan tarian tradisional seperti gamelan dan zapin. Merasa megah apabila mengenakan pakaian seperti baju Melayu bersama sampin, berkain songket, dan berbaju kurung bersama selendang batik. Masyarakat dulu sering menjemput pasukan dikir barat, boria, dondang sayang, dan kumpulan qasidah apabila mengadakan majlis-majlis tertentu, termasuk ketika kenduri kahwin, majlis berkhatan, dan pada musim menuai padi.
Tapi sekarang, malu rasanya untuk aku nyatakan di sini. Nasi ulam sudah digantikan dengan burger dan pizza. Anak muda tak kira lelaki mahu pun perempuan, ke hulu ke hilir dengan seluar Jeans dan berbaju T-shirt ketat. Golongan elit macam aku ini pula akan demam kalau tak dapat hayun kayu golf selama seminggu. Kalau dengar radio, mesti pilih stesen radio yang banyak siar lagu rock. Klasik fm, sorry la. Baru-baru ini mak saudara aku adakan majlis kenduri kahwin anak perempuannya. Nak tau di mana? Di hotel tau. Siap dengan red carpet, kek berlilin, coklat Ferrero Rocher, gaun pengantin berambu-rambu, dan set persandingan ala Bollywood.
Jadi mana jati diri orang Melayu sekarang? Apa dia usaha yang sudah dilakukan untuk memulihkan dan mengembalikan semula jati diri tersebut? Yang menang akan terus menang. Jadi lebih baik kita teruskan apa yang ada sekarang daripada kita terpekik terlolong menyalak si lembu yang sedang nyenyak tidur kekenyangan. Kepada pejuang-pejuang bahasa Melayu, ini amaran keras daripada aku. Jangan lagi bercakap tentang jati diri orang Melayu, kerana orang Melayu sebenarnya sudah tidak ada lagi jati diri.
(Nota : Artikel ini ditulis berdasarkan kaedah “pembalikan minda”, iaitu satu kaedah penulisan yang pada zahirnya kelihatan menyokong sesuatu perkara, namun sebaliknya secara tersirat menentang perkara tersebut).
Tamat
29 Ogos 2008 / 27 Sya‘ban 1429
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment