Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Tuesday, July 27, 2010

Cerpen "Aku dan Hasliza"

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi.blogspot.com
pustakahilmi@yahoo.com

Dalam kesempatan ini aku ingin menceritakan kepada kamu kisah aku dengan Hasliza. Kamu mungkin bertanya : Hasliza tu siapa? Siapa lagi kalau bukan Hasliza bt. Najmuddin, artis terkenal tanahair kita yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Kenapa? Tak percaya ye? Kalau tak percaya, sila baca kisah aku dengan artis yang menjadi idola ramai ini.

Aku adalah salah seorang daripada peminat fanatik Hasliza. Kalau kamu berkunjung ke rumah aku, aku pasti akan tunjukkan kepada kamu 20 koleksi album tentang Hasliza yang aku kumpulkan semenjak tujuh tahun yang lalu. Kalau ada berita tentang Hasliza yang disiarkan dalam surat khabar dan majalah, aku pasti akan mengguntingkannya dan menampalkannya di dalam album aku itu.


Oleh itu, tidaklah pelik jika aku mengetahui semua hal yang berkaitan dengan Hasliza. Daripada fizikal tubuh Hasliza sehinggalah kepada anugerah-anugerah yang telah dimenangi oleh Hasliza, semuanya aku ketahui. Pendek kata, apa sahaja cerita tentang Hasliza, pasti tidak terlepas daripada pengetahuanku. Kalau pun ada yang aku tidak ketahui, mungkin cerita tentang coli dan seluar dalam Hasliza sahaja.


Sedar tak sedar, perbuatan aku itu rupa-rupanya telah mendatangkan rasa cemburu kepada isteriku. Pelik juga ye perangai orang perempuan ni. Minat kat artis pun tak boleh. Itu belum lagi aku bercinta dengan Hasliza. Kalau aku bercinta dengan Hasliza, mungkin pada masa itu dia akan minta cerai.


Diringkaskan cerita, pada suatu hari aku bergaduh besar dengan isteriku fasal album Hasliza yang aku kumpul itu. Isteriku mahu membakar kesemua album yang pada masa itu sudah berjumlah 12 buah. Menurut isteriku, perbuatanku itu hanya membazirkan wang ringgit sahaja, selain masa dan tenaga.


Namun bagiku, apa yang aku lakukan adalah satu hobi. Bukankah kerana hobi manusia sanggup melakukan apa sahaja. Ada orang yang hobinya minat kepada ayam serama atau ikan kelisa. Mereka sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk membeli spesis haiwan tersebut yang terbaik. Pelihara dua tiga bulan, haiwan tersebut mati. Kalau mengikut otak fikiran isteriku, perbuatan tersebut adalah satu kebodohan dan merugikan sahaja.


Ada orang minat melihat perlumbaan kereta Formula I. Mereka sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit, malah mungkin beribu ringgit semata-mata untuk membeli tiket bagi menonton perlumbaan tersebut di Litar Sepang. Kalau semua orang berfikir macam isteriku, pasti sukan lumba kereta macam Formula I dan sukan-sukan elit yang lain akan pupus sebagaimana pupusnya dinasour di muka bumi ini.


Walaupun dihalang keras olehku, isteriku tetap tegar dengan pendiriannya mahu membakar album Hasliza yang aku kumpulkan itu. Mungkin kerana sudah hilang pertimbangan dan tanpa berfikir panjang, tangan kananku terus sahaja singgah di pipi kiri isteriku, sambil mulutku mengeluarkan kata-kata yang aku sendiri sampai sekarang tidak percaya aku sanggup berkata-kata sedemikian.


“Kalau kau bakar album-album tu, jatuh talak satu”.


Habis sahaja aku berkata-kata begitu, isteriku melihat ke arahku dengan pandangan seperti kurang percaya dengan apa yang didengari olehnya. Manik-manik jernih terus mengalir membasahi pipinya yang gebu itu. Isteriku kemudian terus berlari masuk ke dalam bilik tidur, lalu menghumbankan tubuhnya yang longlai itu di atas katil, sambil menekup mukanya dengan bantal.


Aku terduduk di atas kerusi sofa di ruang tamu sambil berasa kesal dengan apa yang terjadi. Pada masa itu baru aku terfikir kenapakah isteriku begitu cemburu dengan hobiku itu. Mungkin isteriku sudah lama memendam rasa cemburu itu, cuma baru sekarang ia sudah tidak tahan lagi menanggung sabar.


Adakah ini bermakna selama ini aku telah mengabaikan tanggungjawabku kepada isteriku. Atau mungkin aku kurang memberi perhatian kepadanya lantaran kegilaanku terhadap hobiku itu. Mungkin juga isteriku merasakan aku lebih mementingkan Hasliza berbanding dirinya sendiri.


Dulu aku pernah menghadiri satu konsert yang diadakan oleh Hasliza di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Ketika itu isteriku sedang mengandung empat bulan anak kami yang kedua. Isteriku merayu-rayu agar aku membatalkan hasrat menghadiri konsert tersebut. Manurut isteriku, dia mengalami pendarahan pangkal rahim akibat kandungan yang terlalu ke bawah di samping bebanan kerja rumah yang memenatkan. Isteriku sebaliknya merayu aku supaya menghantarnya pergi berjumpa doktor.


Pada mulanya aku kurang percaya kerana menganggap kata-katanya itu adalah satu helah untuk menghalang aku daripada menghadiri konsert Hasliza. Hanya setelah isteriku menunjukkan tompokan darah yang melekat pada seluar dalamnya, barulah aku mempercayai kata-katanya itu. Namun, aku tetap tidak berganjak daripada hasratku itu. Bagiku, gejala yang dialaminya itu hanyalah sementara. Tidak perlu susah-susah jumpa doktor. Hanya perlu duduk berehat di rumah sahaja.


Setelah mendapati rayuannya tidak dihiraukan, isteriku mula meradang. Isteriku mula menyampaikan khutbah agama kepadaku, tindakan yang selalu dilakukan olehnya sekiranya aku tidak mengendahkan kata-katanya.


“Sampai hati abang biarkan Iliya begini. Abang pergi ke konsert tu, bukannya dapat pahala, tapi dapat dosa. Tergamak abang nak berhimpit-himpit dengan perempuan. Lelaki dan perempuan bebas bercampur gaul. Pintu maksiat terbuka luas. Lagu-lagu yang disampaikan pula lebih banyak melalaikan daripada memberi pengajaran. Abang tu dah 27 tahun. Sepatutnya banyakkan buat ibadat, tapi perangai mengalahkan budak-budak remaja”.


Belum pun sempat aku mencapai kunci kereta yang terletak di atas almari tilik, tanganku tiba-tiba terhenti. Aku menoleh ke arah isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas katil. Tangan kanannya sedang mengesat curahan air mata yang sudah membasahi pipi, manakala tangan kirinya pula sedang menongkat tubuh. Aku menghampiri isteriku lalu duduk disebelahnya. Sambil membelai rambutnya dan mengusap-ngusap bahunya, aku mencuba mengambil hatinya.


“Abang berjanji, ini kali terakhir abang menghadiri konsert, termasuk konsert Hasliza. Bagilah abang peluang, kerana abang telah lama tak mendengar Hasliza menyanyi secara ‘live’. Lagi pun abang dah berjanji dengan kawan abang untuk pergi. Tiket pun dah dibeli. Bukan murah. Terasa sayang pula nak melepaskan peluang keemasan seperti ini. Abang berjanji tak akan melakukan perkara-perkara yang tak elok, macam yang Iliya bimbangkan itu. Tolonglah bagi abang pergi. Please, darling”.


Sebelum pergi aku mengucup dahi isteriku terlebih dahulu. Isteriku tidak berkata apa-apa. Matanya tetap setia memandang cadar tilam Dreamland. Aku tahu isteriku masih bersedih dengan tindakanku ini. Tapi aku tidak dapat berbuat apa-apa. Kegilaanku yang ekstrim kepada Hasliza telah menggelapkan segala pertimbangan yang sewajarnya aku berikan.


Pada malam itu aku berseronok sakan. Aku melompat-melompat mengikut rentak muzik yang mengiringi sesuatu lagu yang disampaikan. Aku turut menari dengan seorang remaja perempuan Melayu setelah didesak oleh kawanku. Remaja itu memakai seluar jeans pendek paras lutut dan baju ‘spaghetti’ yang jelas menampakkan otot-otot perut dan bonjolan payu daranya.


Ketika muzik beralih kepada rentak yang perlahan, remaja itu mengajak aku menari berpelukan dengannya sebagaimana pasangan-pasangan yang lain. Nasib baik ketika itu aku teringat janjiku kepada isteriku untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak senonoh, lalu aku menolak permintaannya itu. Namun, selepas itu aku terkejut besar apabila mendapati seorang lelaki separuh umur menyambut tangan remaja tersebut.


Dalam konsert itu juga aku ternampak seorang remaja lelaki Melayu sedang menari-nari dalam keadaan mabuk. Di tangannya terdapat satu tin minuman keras berjenama terkenal. Dalam keadaan khayal itu, dia mencuba meneguk minuman keras tersebut, namun minuman itu sudah habis, lalu dibuangnya begitu sahaja. Semasa pulang, ketika berhimpit-himpit dengan penonton-penonton yang majoritinya remaja Melayu Islam itu, aku tergelincir dan hampir sahaja jatuh. Rupa-rupanya aku terpijak sepasang kondom yang dipenuhi dengan lendir.


Banyak lagi cerita yang aku tidak tergamak hendak memberitahu kepada kamu semua di sini. Peristiwa pada malam itu sesungguhnya telah banyak mengajar aku supaya berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara. Pertimbangan baik buruk, halal haram mestilah diutamakan terlebih dahulu.


Terfikir juga aku macam mana remaja Melayu itu boleh mendapatkan minuman keras. Adakah pihak berkuasa kurang memberi perhatian, atau perkara tersebut dianggap isu terpencil dan remeh-temeh. Terfikir juga aku, kalau beginilah keadaan yang berlaku dalam konsert yang diadakan oleh artis tempatan, bagaimanakah pula keadaannya jika konsert tersebut diadakan oleh artis luar negara seperti Michael Jackson, Britney Spears atau kumpulan rock Linkin Park, Scorpions, Spice Girls dan sebagainya.


Untuk pengetahuan kamu, aku terlalu kagum sangat dengan Hasliza ni bukan kerana apa, tapi kerana akhlaknya yang sangat terpuji. Walaupun beliau hidup dalam suasana yang penuh dengan godaan, fitnah dan maksiat, namun Hasliza masih mampu mempertahankan maruahnya sebagai seorang wanita Melayu sejati yang lemah lembut, bersopan santun dan berbudi bahasa.


Hasliza tidak seperti sesetengah artis wanita kita yang mudah lupa diri apabila berada di puncak kejayaan atau glamor. Kamu hitunglah sendiri (kerana aku sudah tidak larat lagi untuk menghitung) berapa banyak sudah artis wanita Melayu beragama Islam yang ditangkap basah berkhalwat dengan lelaki bukan mahram. Ada pula yang berpakaian menjolok mata, menampakkan pusat, lurah payu dara dan otot paha yang putih gebu. Malah ada yang terjebak dengan najis dadah dan arak.


Aku selalu menjadikan Hasliza sebagai contoh ikutan kepada isteriku. Bagiku, gaya hidup yang ditunjukkan oleh Hasliza sudah cukup sesuai dan sederhana bagi seorang wanita muslimah. Masa mula-mula kahwin dulu, aku pernah menyuruh isteriku mengenakan baju kebaya dengan kain tudung yang dililit ke belakang bagi menghadiri satu majlis anjuran majikanku.


Aku sebenarnya malu dengan gaya pemakaian isteriku yang lebih selesa memakai baju jubah dengan tudung bulat labuh. Tidak up-to-date kataku. Malu aku jika isteriku berpakaian begitu di hadapan rakan sekerjaku dalam majlis tersebut. Bagaimanapun, aku terkejut melihat reaksi isteriku. Sangkaanku bahawa isteriku akan menurut kehendakku meleset sama sekali. Isteriku sebaliknya menentang keras hasratku itu.


“Iliya lebih rela tidak menghadiri majlis abang tu daripada terpaksa menggadaikan agama dan maruah. Memang betul, seorang isteri wajib taat kepada suaminya, tetapi dengan syarat perkara tersebut tidak bercanggah dengan syarak. Memakai pakaian yang abang suruh tu, walaupun nampak bersopan tapi masih belum menutup aurat sepenuhnya. Pakaian seperti itu masih menampakkan bentuk tubuh badan yang dilarang dalam Islam. Abang tak cemburu ke kalau ada mata yang asyik memandang tubuh badan Iliya ?”.


Soalan daripada isteriku itu membuatkan aku tergamam seketika. Aku akui pengetahuan agama isteriku lebih mendalam berbanding aku. Aku akui, tubuh badan isteriku sememangnya cantik dan menarik. Macam pelakon filem Hindustan, Rani Mukherjee kata orang. Dan aku juga akui, aku sememangnya cemburu sekiranya terdapat sepasang mata galak yang asyik meneropong tubuh isteriku itu.


Aku sebenarnya kagum dan ‘respect’ dengan sikap tegas isteriku dalam hal-hal keagamaan seperti itu. Namun, aku sendiri tidak tahu sampai bila aku harus hidup seperti sekarang. Aku tidak tahu bilakah masanya aku boleh mengubah cara hidupku yang masih belum menepati ajaran Islam yang sebenarnya ini. Namun, aku percaya kesabaran isteriku yang tidak jemu-jemu berdoa kepada Allah, termasuk melalui solat-solat tahajud pada malam hari akan dimakbulkan jua oleh Allah pada suatu masa nanti.


Hari ini aku mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menatap album Haslizaku yang ke-20. Keratan akhbar terakhir yang aku tampalkan dalam album tersebut ialah tentang pemergian Hasliza mengerjakan umrah di tanah suci Makkah semasa bulan Ramadhan, seminggu sebelum Hari Raya Aidil Fitri yang lalu. Semasa asyik membaca keratan akhbar tersebut, tiba-tiba aku dikejutkan oleh isteriku dari arah belakang.


“Abang !”. Isteriku memegang bahagian belakang bahuku sambil menghulurkan kepadaku senaskhah akhbar mingguan yang baru dibeli.


“Abang tak nak tampal ke laporan akhbar tentang Hasliza ni?”.


Sambil menunjukkan laporan akhbar yang dimaksudkan, isteriku melemparkan senyuman manis kepadaku dan terus berlalu pergi menuju ke dapur. Aku kehairanan kerana jarang sekali isteriku melemparkan senyuman seperti itu. Tanpa berlengah, aku terus membaca laporan akhbar tersebut.


*** *** ***

Hasliza Berubah Imej


KUALA LUMPUR, 10 Disember : Penyanyi terkenal tanahair, Hasliza bt. Najmuddin yang baru pulang dari mengerjakan umrah, hari ini dilihat tampil dengan imej baru. Beliau yang hadir dalam majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Persatuan Penyanyi dan Pemuzik Tanahair (Perpapita) hari ini dilihat memakai jubah dan tudung kepala labuh paras pinggang.


Penampilan terbaru Hasliza itu telah mengejutkan ramai pihak yang seolah-olah tidak percaya dengan imej baru beliau tersebut. Ketika dikerumuni oleh para wartawan, Hasliza yang ditemani pengurus yang juga bapa saudaranya menjawab setiap soalan yang diajukan dengan tenang tetapi bernada tegas.


Menurut Hasliza, penampilan terbarunya itu sama sekali tidak mengikut trend yang dibawa oleh sesetengah artis tanahair, sebaliknya adalah hidayah daripada Allah yang diperolehinya semasa mengerjakan umrah di tanah suci Makkah. Menurutnya, sebagai seorang artis ia perlu menampilkan imej yang baik, bersopan serta tidak melanggar syariat Allah Ta‘ala, kerana setiap sesuatu yang dilakukan oleh artis akan menjadi ikutan kepada para peminatnya.


Ketika ditanya adakah beliau akan menyepi dari kegiatan seni selepas ini ekoran imej baru beliau tersebut, Hasliza menjawab : “Saya akan terus menyanyi selagi saya diterima oleh para peminat. Bagaimanapun, selepas ini saya hanya akan memberi tumpuan kepada lagu-lagu yang berkonsepkan dakwah, nasihat, pujian kepada Allah dan rasul serta lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah dan segala penciptaannya”.


Selain itu, Hasliza turut menambah : “Jika sebelum ini imej yang saya bawa telah banyak menyesatkan peminat-peminat saya, maka kini saya berazam untuk menebus kembali dosa-dosa tersebut dengan mengajak peminat-peminat saya menghayati keindahan penciptaan Allah dan berhibur dalam garis sempadan yang dibenarkan oleh syariat”.


Mengakhiri sidang media tersebut, Hasliza memberi jaminan bahawa beliau akan terus mengekalkan imej baru yang dibawa olehnya itu kerana katanya : “Saya telah berjanji dengan Allah di hadapan Kaabah untuk mengubah senario dunia hiburan, khususnya di tanahair saya sendiri. Sebagai seorang artis, saya akan melakukan setakat mana yang saya mampu. Saya harap para peminat saya akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha saya ini. Sekian, terima kasih”.


*** *** ***


“Abang !” Isteriku tiba-tiba muncul di hadapanku dengan segelas air Milo Beng bersama beberapa keping biskut dan roti sandwich.


“Boleh tak Iliya tolong guntingkan laporan akhbar ni dan tampalkannya ke dalam album abang tu?”.


Aku terpinga-pinga.


2 comments:

  1. Aku terpinga-pinga.HAHA caye la ustaz

    ReplyDelete
  2. Terbaiklah ust, mntak² buleh bini sama sifatnya dengan isteri ust tu..amin...hehehehe

    ReplyDelete