Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Wednesday, March 31, 2010

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Pada 26 dan 27 Mac 2010 yang lalu, program jelajah hiburan dan informasi TV3, Jom Heboh mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila buat pertama kalinya berjaya menjejakkan kaki ke bumi Cik Siti Wan Kembang. Program yang berlangsung selama dua hari dua malam itu telah berjaya menarik ratusan ribu rakyat Kelantan berkunjung ke Stadium Sultan Mohamed Ke-IV bagi melihat dengan lebih dekat lagi selebriti-selebriti TV3 yang sebelum ini hanya mampu dilihat di kaca televisyen sahaja.

Namun, dalam kemeriahan pesta tersebut, terdapat satu perkara yang membingunkan kita, iaitu apabila kerajaan Kelantan melarang persembahan nyanyian oleh artis wanita dalam konsert hiburan yang diadakan di akhir program tersebut. Alasan yang diberikan ialah persembahan artis wanita dibimbangi akan menyalahi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan 1998, khususnya dalam konteks subseksyen yang berbunyi “mengawalselia perilaku pelakon, penyanyi, dan penghibur”.

Walau apapun alasan yang diberikan, saya melihat larangan tersebut lebih kepada menuruti pendapat Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan suara wanita dan hiburan. Semasa memberikan justifikasi terhadap larangan qariah Kelantan daripada menyertai Musabaqah Al-Quran pada tahun 1990 dahulu, Menteri Besar yang lebih dikenali sebagai Tuan Guru itu seingat saya pernah mengeluarkan kenyataan yang lebih kurang seperti berikut :

“Saya sememangnya bersetuju dengan pendapat bahawa suara perempuan itu bukan aurat. Tetapi saya tidak boleh bersetuju dengan tindakan orang perempuan yang sengaja melunakkan suara bagi menarik perhatian orang lain, walaupun dengan tujuan untuk membaca al-Quran”.

Jika inilah pegangan Tuan Guru Menteri Besar yang baru sahaja dilanjutkan jawatan sebagai Mursyidul Am Pas itu, saya bimbang masyarakat bukan Islam khususnya akan menganggap Pas sebagai parti yang ekstrem terhadap wanita. Malah, tidak mustahil dalam pilihanraya ke-13 akan datang, masyarakat bukan Islam akan menolak Pas lantaran persepsi bahawa Pas akan mendiskriminasikan wanita jika diberi peluang memerintah kerajaan pusat, khususnya dalam hal-hal yang melibatkan industri hiburan.

Dalam hal ini, menarik juga untuk dibincangkan manakah yang lebih baik dan berfaedah antara lagu-lagu dakwah yang dinyanyikan oleh artis wanita, contohnya lagu Doa nyanyian Rahimah Rahim, dengan lagu Cukuplah Sekali yang dinyanyian oleh Jay Jay pada malam konsert Jom Heboh tersebut. Saya tidak pasti sama ada Tuan Guru bersetuju dengan saya bahawa lagu Jay Jay tersebut lebih baik semata-mata kerana dia adalah penyanyi lelaki, bukan wanita.

Friday, March 5, 2010

Bila Siti Nurhaliza Bertudung

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com

Persoalan tentang kemungkinan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza bt. Tarudin akan bertudung bila sampai masa dan ketikanya nanti sudah lama diperkatakan. Orang pertama yang melontarkan isu ini ialah Astora Jabat dalam majalah Al-Islam, Ogos 2004. Kebetulan pula, lapan bulan sebelum itu penulis telah berjaya menyiapkan sebuah cerpen yang mengisahkan tentang keazaman Siti Nurhaliza untuk memakai tudung dan berpakaian menutup aurat setelah kembali dari menunaikan haji di tanah suci. Cerpen tersebut kemudiannya disiarkan dalam buletin Jendela Timur, Disember 2004 (terbitan DBP, Wilayah Timur) di bawah tajuk “Aku dan Siti Norbayu”.

Isu tudung Siti Nurhaliza ini sebenarnya tidak dicetuskan oleh sesiapa pun. Isu ini sebenarnya timbul ekoran kenyataan Siti Nurhaliza sendiri, khususnya apabila ditanya oleh wartawan tentang ciri-ciri calon suaminya. Bukankah Siti pernah menyatakan beliau ingin mencari lelaki yang beriman sebagai calon suaminya. Lelaki beriman di sini pastinya ialah lelaki yang mampu membimbing Siti menjadi wanita yang solehah dan taat kepada perintah agama, termasuk tentang cara berpakaian menurut syariat.

Menurut Astora Jabat, Siti Nurhaliza pernah memberitahunya : “Memang bila sampai ke satu peringkat nanti saya akan bertudung seperti ramai wanita muslimah lain. Bagaimanapun, saya akan meneruskan kerjaya menyanyi walaupun sudah bertudung. Cuma saya akan memberi tumpuan kepada lagu-lagu berciri Islam”. Menurut Astora Jabat lagi, Siti memberitahunya bahawa sebagai orang hiburan, beliau menghadapi masalah untuk mengimbang antara tuntutan agama dan tuntutan kerjaya, tetapi ini bukan bererti beliau mengabaikan tuntutan agama.

Penulis percaya, bukan penulis dan Astora Jabat sahaja yang mengharapkan Siti Nurhaliza supaya bertudung, malah beribu-ribu peminat dan bukan peminat Siti Nurhaliza pun mengharapkan perkara yang sama. Persoalannya, apakah signifikannya bila Siti Nurhaliza bertudung? Kenapa seolah-olah Siti Nurhaliza sahaja yang menjadi fokus dalam hal ini? Kenapa tidak artis-artis wanita yang lain?

Ada pihak yang berpendapat, sama ada Siti Nurhaliza bertudung atau pun tidak, isu tersebut tidak penting. Hal ini kerana Siti Nurhaliza masih boleh menyanyi dan menyampaikan mesej-mesej yang baik walaupun tidak bertudung. Lagu-lagu yang membawa mesej yang baik bukannya hak eksklusif kumpulan nasyid dan penyanyi yang bertudung sahaja. Justeru itu, apakah perlunya Siti Nurhaliza bertudung, kalau perkara yang sama dapat disampaikan dalam keadaan tidak bertudung? Lagipun, isu tudung adalah isu peribadi. Terserahlah kepada empunya diri sama ada mahu atau pun tidak.

Namun, di pihak yang lain pula berpendapat, lagu-lagu yang membawa mesej yang baik akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam terhadap para pendengar jika disampaikan dengan cara yang baik dan dalam bentuk penampilan yang juga baik dan elok. Contohnya, jika sebuah kumpulan rock menyanyikan sebuah lagu yang memberi nasihat agar para remaja menjauhi dadah, elokkah agaknya jika ahli kumpulan tersebut menyanyi dalam keadaan pakaian dan rambut yang tidak terurus, serta diiringi muzik yang memekakkan telinga. Pastinya adalah lebih elok jika mereka menampilkan imej yang lebih bersopan seperti yang ditampilkan oleh Mawi dan Hazami.

Oleh itu, jika Siti Nurhaliza memakai tudung dan menyanyikan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah, mengangungkan ciptaan-Nya, menyintai Nabi Muhammad s.a.w., lagu-lagu yang berbentuk nasihat yang baik, mengajak pendengar ke arah melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, termasuk juga lagu-lagu yang bersifat patriotik dan cinta yang tidak melalaikan, penulis percaya jumlah peminat Siti Nurhaliza akan bertambah. Mungkin ada seorang dua yang akan mengundurkan diri, namun yang pastinya peminat yang baru jauh lebih ramai daripada yang melupakan Siti.

Kumpulan yang kedua ini menganggap tidak ada sebab untuk Siti menangguhkan hasratnya yang murni itu. Sudah banyak kes yang membuktikan bahawa bertudung tidak menjejaskan kerjaya seseorang wanita. Tidak payahlah rasanya penulis menyenaraikan di sini nama-nama selebriti televisyen yang dahulunya tidak bertudung, tetapi terus berjaya dalam kerjaya mereka walaupun selepas mereka bertudung. Begitu juga dengan Waheda dan Wardina yang terus melibatkan diri dalam dunia seni tanah air, sedangkan mereka berdua dilihat tidak pernah berkompromi tentang soal pakaian dan tudung. Paling akhir adalah kejayaan Rugaya Al-Ghasara, atlit olahraga dari Bahrain yang berjaya memenangi pingat emas sukan Sukan Asia dalam acara pecut 200 meter walaupun berlari menggunakan seluar panjang dan bertudung.

Mengharapkan Siti Nurhaliza bertudung bukan bermakna mengabaikan persoalan tudung bagi artis wanita yang lain. Kalau boleh memang kita mahu melihat semua artis wanita, sama ada penyanyi mahu pun pelakon, mengenakan tudung mengikut gaya yang disukai oleh mereka. Tak kiralah tudung ala Wardina, Waheda atau apa fesyen sekalipun, asalkan tudung tidak lekang dari atas kepala mereka.

Namun begitu, persoalan tudung bagi Siti Nurhaliza mempunyai signifikan dan keistimewaannya yang tersendiri. Sama ada kita menyedari atau pun tidak, Siti Nurhaliza adalah ikon bagi industri hiburan tanah air, serta idola bagi pelbagai golongan masyarakat di negara ini, daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas sekalipun. Justeru itu, alangkah manisnya jika Siti Nurhaliza menjadi titik perubahan atau turning point kepada trend bertudung bagi wanita muslimah di negara ini. Dan lebih manis lagi sekiranya trend tersebut berasaskan kepada kesedaran dan keinsafan, bukannya sekadar mengikut arus perubahan dan kehendak pihak-pihak tertentu.

Imej Siti Nurhaliza yang bertudung sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Sebelum ini pun Siti pernah dilihat mengenakan busana yang bertudung semasa menghadiri majlis-majlis tertentu, termasuk ketika mengaji al-Quran semasa bulan Ramadhan lebih setahun yang lalu. Kali terakhir Siti dilihat bertudung ialah ketika majlis akad nikah perkahwinan beliau dengan Dato’ Khalid di Masjid Wilayah Persekutuan, Ogos 2006 yang lalu.

Jika itulah komitmen yang ditunjukkan oleh Siti Nurhaliza, maka tidak salah andainya masyarakat khususnya peminat-peminat setia Siti menaruh harapan agar cita-cita murni tersebut akhirnya menjadi kenyataan. Ekoran daripada harapan tersebut jugalah kita dapati ramai lelaki di negara ini, sama ada yang betul-betul ikhlas, mahu pun yang hanya sekadar ingin mengambil kesempatan, memasang impian ingin memperisterikan Siti Nurhaliza, termasuklah juga lelaki yang telah pun beristeri. Masing-masing berangan-angan kononnya mampu membimbing Siti mencapai hasratnya itu, termasuk mendakwah mereka yang berada di sekeliling Siti.

Justeru itu, apabila Siti Nurhaliza memilih Dato’ K sebagai suaminya, jumlah lelaki yang kecewa jauh lebih banyak daripada jumlah wanita yang kecewa dengan tindakan Siti tersebut. Sesetengahnya kecewa kerana hasrat yang mereka dambakan selama ini berkubur begitu sahaja. Manakala, sesetengah yang lain pula awal-awal lagi membuat interpretasi bahawa Siti Nurhaliza bakal berhadapan situasi yang amat membebankan dan menyukarkan beliau untuk berubah.

Walau bagaimanapun, masih terlalu awal sebenarnya untuk kita melihat sesuatu yang drastik berlaku ke atas diri Siti Nurhaliza. Melentur sesuatu objek yang bengkok sememangnya susah, kerana jika tersilap, objek tersebut akan patah. Oleh itu, berlaku adillah kepada Dato’ K. Berilah masa kepada beliau untuk mencorakkan hala tuju hidup Siti Nurhaliza yang seterusnya. Penulis berbaik sangka dan percaya Dato’ K mampu menjadi suami yang baik kepada Siti sebagaimana beliau berjaya dalam bidang keusahawanan dan perniagaannya.

Namun begitu, Dato’ K perlu menyedari bahawa kehidupan rumahtangga beliau dengan Siti Nurhaliza sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan pastinya tidak lepas daripada lensa wartawan dan peminat setia Siti Nurhaliza. Apa sahaja yang dilakukan oleh Siti Nurhaliza selepas bergelar isteri akan dibandingkan dengan apa yang beliau lakukan ketika masih bergelar anak dara. Oleh itu, dengan rendah diri penulis ingin menasihatkan Siti agar menjaga penampilannya, termasuk jangan sama sekali kelihatan terlebih seksi dan seksa berbanding penampilan sebelum bergelar isteri orang.

Walau apa pun keputusan yang telah diambil, penulis percaya Siti Nurhaliza tetap mengambil kira implikasi buruk dan baik yang bakal berlaku ke atas dirinya. Bagi mereka yang masih berangan-angan, lupakanlah sahaja impian anda itu. Dalam usia yang sudah mencecah 28 tahun kini, Datuk Siti Nurhaliza telah pun menentukan haluan hidupnya sendiri.

(Artikel ini telah disiarkan dalam majalah Al Islam, Mac 2007)