Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Thursday, July 22, 2010

Cerpen "Perjuangan Ayah"

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi.blogspot.com
pustakahilmi@yahoo.com

(Cerpen ini penulis hadiahkan khusus buat ayahanda tercinta, Ustaz Hj. Abdullah b. Jaafar yang telah kembali ke Rahmatullah pada 16 Julai 2004. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau).


Mama, kenapa mama menangis?”


Aku menuju ke arah mama. Kulihat mama mengenyeh-genyeh mata dengan tangan kirinya. Mata mama kemerah-merahan. Mama segera berhenti menangis setelah melihat aku datang ke arahnya.


“Tak adalah. Mama tak menangis, Man. Cuma mata mama ni masuk bawang”.


Aku melihat ke arah jam yang tergantung di dinding. Walaupun pada ketika itu aku baru berusia sepuluh tahun, aku sudah tahu membaca jam. Aku tahu mama cuba membohongi aku. Mustahil mama sudah menumbuk bawang untuk memasak. Biasanya mama memasak pada jam dua belas tengahari, sedangkan pada masa itu baru pukul sembilan pagi. Tapi aku tidak menyalahkan mama. Aku tahu mama menangis kerana terkenangkan arwah ayah yang baru seminggu meninggal dunia.


“Mama menangis kerana ingat kat ayah kan?”


Aku menghampiri mama. Memeluk dan mencium mama dengan penuh kasih sayang. Mama tidak terdaya untuk menjawab soalanku tadi. Tapi mama menabahkan hatinya, menahan air mata yang sedia keluar pada bila-bila masa sahaja itu.


Bagiku dan adik-adik, hanya mama seorang sahaja sekarang ni tempat kami bergantung. Aku tahu, sebagai anak sulung aku harus menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik. Aku mesti membuktikan kepada mama dan adik-adikku bahawa pemergian ayah tidak sia-sia. Perjuangan ayah adalah suci dan ikhlas. Pengorbanan yang ayah curahkan demi agama tidak dapat dinilai dengan apa jua sekalipun, termasuklah wang ringgit.


Peristiwa yang berlaku hampir lima puluh tahun yang lalu itu masih lagi segar dalam memoriku. Pada malam itu selepas Isyak, sekumpulan lima leleki datang ke rumah untuk menemui ayah. Aku kenal sangat dengan mereka itu kerana sebelum ini pun mereka selalu datang ke rumah. Salah seorang daripadanya dikenali sebagai Datuk Mulus, iaitu pengerusi Parti Bangsa Merdeka (PBM) cawangan kampungku, Kampung Sentosa.


“Ustaz Hassan, kami datang ni nak berbincang dengan ustaz fasal perpaduan orang kampung kita ni”. Datuk Mulus memulakan bicaranya dalam nada yang lembut.


“Datuk, saya tak fikir orang kampung kita sekarang ni sedang berpecah. Apa yang saya nampak, mereka cuma tidak mahu menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh PBM”. Ayah menjawab dengan tenang sambil memeluk erat aku diribanya.


“Inilah yang kami tidak setuju ustaz. Sepatutnya perkara ini tidak terjadi”.


“Datuk, saya minta maaf. Terus terang saya ingin katakan, sebab orang-orang saya tidak mahu menghadiri majlis PBM kerana majlis tersebut tidak menepati hukum syarak. Bercampur bebas antara lelaki dan perempuan. Ada majlis tari menari. Kadang-kadang ada menora, wayang kulit, dikir barat yang karut mengarut dan sebagainya yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Macam ni mana kami boleh hadir”.


Panjang lebar ayahku memberi penjelasan agar Datuk Mulus dan orang-orangnya berpuas hati. Namun, Datuk Mulus mulai berubah wajah dengan jawapan ayahku itu. Ismail Golok dan Husin Komando yang mengapitnya juga kelihatan tidak senang duduk.


“Begini ajelah ustaz”. Datuk Mulus cuba mengalih topik perbincangan.


“Tujuan kami datang ni untuk merayu agar ustaz kembali menyertai PBM. Saya sedia berundur daripada memimpin cawangan kampung ni kalau ustaz sanggup menerima pencalonan. Bagi kami hanya inilah sahaja cara untuk penduduk kampung ini kembali bersatu”.


“Kami dalam PSB (Parti Sejahtera Bangsa) ni Datuk, tidak berjuang untuk mendapatkan kedudukan dalam parti. Kami berjuang semata-mata kerana Allah, untuk menegakkan syariat-Nya dan menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah, bukannya agama yang diperintah seperti sekarang ini”.


“Kalau saya jadi pengerusi PBM kampung ni pun, belum tentu saya boleh membawa bersama semua pengikut saya. Ini kerana dalam PSB kami dididik agar melihat terlebih dahulu matlamat penubuhan sesebuah parti politik itu sebelum mengambil keputusan menyertainya”.


“Dalam PBM saya tengok tidak ada fasal yang menyatakan dengan jelas perjuangan PBM adalah untuk menegakkan agama Islam. Yang ada hanyalah untuk mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara. Ini tidak cukup, Datuk”.


Ismail Golok dan Husin Komando kelihatan semakin gelisah. Begitu juga dengan dua orang lagi pengikut Datuk Mulus, iaitu Engku Sudin dan Tok Mat Ali.


“Ustaz, kalau begitulah alasan ustaz, saya tidak fikir orang-orang ustaz tidak boleh bertolak ansur. Saya boleh bawa perkara ini ke peringkat atasan. Yang pentingnya ustaz boleh pujuk orang-orang ustaz supaya beramai-ramai menyertai PBM”.


“Jemput minum Datuk”. Perbincangan terhenti seketika apabila mama datang membawa enam cawan air kopi dan sepinggan keropok lekor yang baru digoreng serta sepiring pencicah. Engku Sudin sempat menjeling ke arah mama sambil meneguk sedikit air kopi yang masih panas itu.


Menurut ayah, Engku Sudin pernah melamar mama pada suatu ketika dulu. Tapi lamarannya ditolak oleh atuk kerana atuk lebih mementingkan ciri-ciri keagamaan dalam memilih menantu. Justeru itu, atuk menolak lamaran Engku Sudin walaupun dia dari golongan diraja dan berharta.


Setelah meminum beberapa teguk air kopi dan mengunyah sepotong keropok lekor, Datuk Mulus menyambung bicaranya dalam usahanya yang terakhir memujuk ayah kembali menyertai PBM.


“Ustaz, saya fikir perjuangan ustaz dalam PSB tidak akan ke mana. Cuba ustaz fikir, peratus umat Islam di negara ini hanyalah 55% sahaja berbanding dengan bukan Islam. Jadi, kalau umat Islam berpecah belah, macam mana orang Islam boleh memerintah negara ini?”.


“Lagipun ustaz, saya tidak fikir orang bukan Islam boleh menerima perjuangan PSB. Ini kerana PSB berjuang untuk menegakkan sebuah negara Islam yang tulen di negara ini. Hal ni sudah pasti ditentang habis-habisan oleh orang-orang bukan Islam kerana mereka menganggap pembentukan sebuah negara Islam akan menggugat kebebasan mereka, khususnya dalam hal-hal keagamaan”.


“Selain itu, pemimpin-pemimpin PSB kebanyakannya berkelulusan agama. Mereka saya lihat kurang berkebolehan dalan bidang pentadbiran dan pengurusan. Kalau macam ni, macam mana PSB boleh meyakinkan orang-orang bukan Islam supaya menyokong perjuangan PSB serta memberi kepercayaan untuk memerintah negara ini? Saya fikir, sampai kucing bertanduk pun PSB tidak akan dapat memerintah negara ini, ustaz”.


Ayah menghulurkan sepotong keropok lekor kepadaku. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Bagiku, perbincangan antara ayah dengan Datuk Mulus lebih menarik perhatianku berbanding keropok lekor mama tersebut.


Penerangan yang panjang lebar daripada Datuk Mulus itu langsung tidak dapat mengubah pendirian ayah. Sepanjang mendengar ucapan Datuk Mulus tadi ayahku kelihatan tenang dan langsung tidak nampak gelisah untuk menjawab segala persoalan yang ditimbulkan, termasuk sindiran yang memperkecilkan kebolehan golongan yang berpendidikan agama seperti ayah.


“Macam nilah Datuk. Kami menyertai PSB atas dasar kepercayaan bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang menyentuh seluruh kehidupan manusia, bermula dari sekecil-kecil perkara seperti adab masuk tandas sehinggalah kepada urusan memerintah negara”.


“Berapa peratus umat Islam di negara ini bukan menjadi keutamaan bagi kami, kerana negara Islam Madinah yang diasaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sendiri pun bukannya terdiri daripada 100% umat Islam, malah terdiri daripada pelbagai etnik yang sebahagian besarnya masih belum beragama Islam ketika negara Islam Madinah baru ditubuhkan”.


“Kami percaya, dengan usaha dakwah yang kami lakukan tanpa mengenal erti penat dan lelah, dan tanpa mengharapkan balasan ganjaran dan wang ringgit, lama kelamaan orang-orang bukan Islam di negara ini akan dapat memahami Islam dengan cara yang betul”.


“Yang menjadi masalahnya Datuk, bukannya orang-orang bukan Islam tetapi orang-orang Islam sendiri. Apabila kita menjelaskan ajaran Islam yang sebenar kepada orang bukan Islam, terdapat pula sebahagian daripada orang Islam sendiri yang sengaja memutarbelitkan fakta sehingga menakutkan orang-orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam atau menyokong perjuangan Islam”.


Ketika itu aku melihat muka Datuk Mulus mula kemerah-merahan. Mungkin malu atau marah agaknya. Ismail Golok dan Husin Komando pula saling berpandangan antara satu sama lain. Begitu juga dengan Engku Sudin dan Tok Mat Ali.


“Kalau orang-orang bukan Islam faham tentang Islam, kami yakin mereka tidak ada masalah untuk menyokong kami. Ini kerana pemerintahan yang berasakan Islam memberikan keadilan kepada semua pihak tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan taraf hidup. Islam juga memastikan kebebasan beragama, membanteras rasuah, judi dan penyalahgunaan kuasa, mementingkan keamanan dan penjagaan alam sekitar serta menjamin hak setiap individu dalam masyarakat”.


“Bagi kami, kalah dalam pilihanraya bukanlah penamat kepada perjuangan kami, Datuk. Yang pentingnya, kami dapat menyampaikan dakwah kepada masyarakat melalui wadah politik. Kami percaya, lambat laun masyarakat pasti akan memberi kepercayaan kepada golongan agama untuk memerintah negara ini. Kami yakin dengan janji Allah dalam surah al-Nur ayat yang ke-55 yang bermaksud :


“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal saleh di antara kamu bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi….”.


“Saya mengaku, sebelum ini saya tersilap kerana menyangka PBM mampu memperjuangkan agama Islam di negara ini. Namun, sepanjang tempoh lima tahun saya menyertai PBM, saya tidak nampak usaha dan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada pemimpin-pemimpin tertinggi PBM untuk tujuan tersebut. PBM tidak ubah seperti tali barut penjajah yang setia kepada tuannya”.


“Minta maaf Datuk, saya tidak mahu ditipu dan tertipu untuk kali yang kedua”.


“Abang !”. Perbincangan antara ayah dengan Datuk Mulus tiba-tiba terhenti apabila mama menghulurkan air basuh tangan kepada ayah beserta dengan kain tuala ‘good morning’ sebagai pengelap tangan. Mama kemudian mengambil aku dari riba ayah dan menyuruh aku masuk tidur.


Sebagai anak yang patuh kepada kata-kata orang tua, aku menurut sahaja arahan mama, walaupun aku masih berminat untuk mendengar dialog ayah dengan Datuk Mulus tersebut. Aku masuk ke dalam bilik tidurku dan berpura-pura tidur. Tidak lama kemudian aku terdengar dentuman pintu kereta ditutup. Aku tahu Datuk Mulus dan orang-orangnya sudah bersiap sedia untuk pulang.


Aku membuka sedikit daun pintu jendela bilikku. Sejurus kemudian, aku lihat kereta Volkswagen Datuk Mulus meluru dengan laju meninggalkan rumahku, bagaikan kecewa dengan keputusan perbincangan dengan ayahku sebelum itu. Setelah kereta Volkswagen tersebut hilang dari pandangan, tiba-tiba sahaja aku dikejutkan dengan bunyi tiga das tembakan. Aku percaya ketiga-tiga das tembakan tersebut ditujukan ke arah bahagian hadapan rumahku.


Sebelum aku menutup kembali pintu jendela bilikku, aku sempat melihat sebuah motosikal berkuasa tinggi menghilang dari celah-celah kegelapan malam. Di ruang tamu, aku mendengar mama meraung seperti orang yang terkena histeria. Apabila aku keluar dari bilik, aku lihat mama sudah terkulai layu di atas tikar mengkuang sambil tercungap-cungap menahan keperitan akibat penyakit lelah yang sering kali dihadapinya itu.


Aku cuba mendudukkan mama, tapi apakan daya, kudratku yang masih lemah tidak mampu untuk mengangkat beban yang seberat mama. Mama menyuruh aku pergi melihat ayah di luar rumah. Setibanya aku di muka pintu, jiran-jiran rumahku sudah penuh mengelilingi ayah. Aku lihat ayah tersungkur di hadapan tangga. Bahagian belakang ayah berlumuran darah. Ada yang menangis. Ada yang meraung dan ada yang hanya menitiskan air mata sahaja.


Sambil meraung, aku lihat Makcik Lijah, jiran sebelah rumahku, meluru ke arah ayah. Bagaimanapun, sebelum sempat menyentuh tubuh ayahku, suaminya Pak Su Nor yang berada di bahagian kepala ayahku cepat-cepat memegang isterinya itu sambil berkata :


“Ustaz dah mati. Jangan sentuh dia. Kita tunggu polis datang dulu”.


Serentak dengan itu juga aku lihat Makcik Lijah terkulai layu di pangkuan suaminya, lalu diusung masuk ke dalam rumah. Beberapa orang lagi, terutamanya wanita tua turut tidak dapat menahan perasaan melihat percikan darah yang membasahi tubuh ayahku sehingga ada yang menutup muka, ada yang terduduk, malah ada yang menarik-narik rambutnya, seolah-olah tidak sedarkan diri.


Aku yang pada mulanya ingin mendekatkan diri kepada ayah tiba-tiba terpaku di tengah tangga. Tanpa aku sedari, aku juga turut menitiskan air mata, lalu terduduk di atas tangga. Aku tidak meraung seperti Makcik Lijah itu kerana ayahku mendidik aku sejak kecil lagi agar menjadi seorang yang kuat semangat dan sabar. Aku tahu, bukan kesedihan meratapi kematiannya yang ayahku pinta, tetapi ketabahan meneruskan perjuangan yang diingininya daripadaku.


Pada masa itu juga, Pakcik Karim, sahabat karib ayah, menaiki tangga lalu memegang tanganku.


“Man masuk dalam, pergi tidur. Jangan bimbang, pakcik akan uruskan ayah dan mama Man”.


Ketika Pakcik Karim memimpin tanganku naik ke atas rumah itu, aku dapat mencium bau kesturi yang sangat harum melalui tiupan angin yang memasuki rumahku. Walaupun ketika itu aku masih belum memahami erti perjuangan, jihad dan mati syahid, aku yakin bau kesturi tersebut datangnya dari arah tempat ayahku rebah menyembah bumi. Malah tidak mustahil, bau tersebut datangnya daripada darah-darah yang masih berterusan mengalir membasahi belakang ayahku itu.


Maka benarlah firman Allah Ta‘ala dalam surah Ali Imran, ayat yang ke-169 hingga ayat ke-171 yang bermaksud : “Jangan kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.


Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang besar daripada Allah, dan bahawa Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang beriman”.


Walaupun jasad ayahku telah mati, tapi aku percaya roh ayahku masih tetap hidup. Hidup di dalam diri para pengikutnya yang masih tetap setia memperjuangkan yang hak dan menentang kebatilan. Buktinya selepas kematian ayahku, jumlah ahli PSB di kampungku semakin hari semakin bertambah. Semangat perjuangan mereka semakin berkobar-kobar demi menuntut bela di atas kematian ayahku, pemimpin yang mereka sayangi itu.


Walaupun pihak polis gagal mengesan pembunuh ayahku, tapi dari awal lagi aku sudah tahu siapa pembunuh yang sebenarnya. Siapa lagi kalau bukan sifat hasad dengki yang telah sebati dalam diri penyokong-penyokong fanatik PBM. Dengki terhadap ketokohan dan kewibawaan yang ada pada ayahku. Dengki kerana ayahku berjaya membawa sebahagian besar pengikutnya keluar dari PBM. Hanya mereka yang mementingkan periuk nasi dan perut masing-masing sahaja yang masih sanggup menjilat kekotoran yang terdapat dalam PBM.


Kini aku sudah berumur tiga puluh lima tahun. Esok adalah hari ulang tahun ke-25 penubuhan PSB, satu-satunya parti politik yang memperjuangkan Islam yang syumul dan hakiki di negara ini. Esok aku akan dijemput naik ke atas pentas untuk menerima hadiah bagi pihak ayahku.


Walaupun hadiah bukanlah segala-galanya, namun hadiah sekurang-kurangnya memberi rangsangan kepada generasi muda khususnya, agar tidak mudah kecewa atau putus asa dalam perjuangan. Pemberian hadiah kepada mereka yang telah banyak berjasa diharap dapat menyedarkan generasi muda agar menghormati perjuangan mereka yang terdahulu. Semoga generasi muda hari ni mengambil iktibar daripada sejarah hidup generasi yang terdahulu.


Walau apa pun, hadiah yang bakal aku bawa pulang esok pasti tidak setanding dengan hadiah pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ayahku kepada agama, bangsa dan negara. Hadiah tersebut tidak mungkin mampu membawa pulang ayahku ke dunia ini lagi. Dan yang pastinya juga, ayahku lebih selesa berada di taman syurga di alam kuburnya sekarang ini.


No comments:

Post a Comment