Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Tuesday, February 2, 2010

Cara Betul Pakai Penutup Hidung

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@ yahoo.com
pustakahilmi.blogsport.com

Wabak H1N1, atau istilah yang lebih disenangi oleh Dr. Rais Yatim, iaitu selesema babi, semakin hari semakin menakutkan rakyat negara ini. Apa tidaknya, wabak ini sebagaimana yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai “pandemic” tahap ke-6, iaitu tahap yang paling kritikal, telah pun menular di negara ini dalam bentuk penularan tempatan. Maknanya, wabak ini bukan sahaja lagi disebabkan oleh para pelancong yang melawat negara ini, atau rakyat negara ini yang berkunjung ke luar negara, tetapi boleh sahaja disebabkan oleh rakyat tempatan yang kehidupan sehariannya hanya berligar di kawasan rumahnya sahaja.

Sejak wabak H1N1 ini semakin menular, saya melihat semakin ramai rakyat negara ini, sama ada lelaki mahupun wanita, orang-orang Islam mahupun orang-orang bukan Islam, yang memakai penutup hidung dan mulut. Saya sendiri pada peringkat awal ketika wabak H1N1 melanda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut memakai penutup hidung dan mulut. Namun, mungkin disebabkan masalah resdung, saya merasa sedikit kurang selesa dengan pemakaian tersebut.

Memakai penutup hidung dan mulut adalah salah satu cara bagi meminimumkan risiko jangkitan virus H1N1. Hal ini kerana antara cara virus ini merebak ialah melalui udara apabila si pengidapnya bersin, batuk, malah bernafas sekalipun. Oleh kerana kaedah penularan wabak H1N1 ini begitu mudah sekali, saya melihat ramai juga individu yang saya kenali, khususnya wanita, termasuk isteri saya sendiri yang mulai fobia dengan wabak yang dikatakan berpunca daripada babi ini.

Masakan isteri saya tidak fobia, sedangkan sudah 6 kes kematian membabitkan pesakit yang menghidap simptom influenza A (H1N1) mati di negara ini dalam tempoh tidak sampai sebulan. Bagi sesetengah pihak, wabak ini sudah tidak terkawal, atau semakin sukar untuk dikawal. Semakin hari semakin banyak institusi pengajian dan pusat latihan yang terpaksa ditutup demi mengelak virus H1N1 daripada merebak dan menjangkiti lebih ramai individu.

Ekoran kebimbangan masyarakat yang semakin tinggi terhadap wabak H1N1 sejak kebelakangan ini, saya melihat banyak syarikat tempatan dan antarabangsa yang mendapat keuntungan daripada malapetaka yang melanda dunia di zaman serba canggih ini. Antara syarikat yang pastinya mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda ialah syarikat pengeluar cecair pencuci antiseptik, syarikat pengeluar vaksin anti virus H1N1, dan syarikat pengeluar penutup hidung dan mulut.

Bercakap tentang penutup hidung dan mulut ini, saya melihat ramai yang tidak mengetahui cara pemakaian yang betul dan selamat. Banyak individu yang saya temubual secara rambang menyatakan kesediaan mereka untuk berkongsi penutup hidung dan mulut dengan rakan-rakan mereka. Banyak juga yang menyatakan penutup hidung dan mulut boleh digunakan selama mana yang mereka kehendaki selagi keadaan fizikal penutup tersebut kelihatan masih elok, bersih, dan selesa untuk digunakan.

Setelah saya memberitahu kaedah pemakaian penutup hidung dan mulut yang betul dan selamat kepada keluarga saya, saya dapati isteri dan anak-anak saya sedikit terperanjat. Namun, perkara yang lebih memeranjatkan saya ialah jawapan daripada anak perempuan saya yang baru berumur 10 tahun. Dengan selamba dia memberitahu saya : “Kalau begitu abah, lebih baik kita terus pakai purdah sahaja. Lebih selamat, murah, dan menjimatkan”. Serentak dengan itu juga saya lihat isteri dan anak perempuan sulung saya tercengang dan terpinga-pinga.

No comments:

Post a Comment